Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka diniaga tinggi sedikit

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi sedikit minggu ini dengan para pelabur mengumpul saham kaunter berkaitan indeks terpilih dalam keadaan sentimen berhati-hati yang sebahagian besarnya dijangka dipengaruhi oleh perkembangan luaran.

Seorang peniaga berkata sentimen bulis ketika ini yang mendapat rangsangan daripada situasi ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin reda dan kemungkinan tidak berlakunya serangan  ketenteraan ke atas Syria, dijangka terus mendorong minat terhadap risiko minggu ini.

Selain itu, kenyataan Presiden AS Donald Trump yang mahu menimbangkan semula untuk menyertai perjanjian perdagangan bebas Perkongsian Trans-Pasifik meredakan sedikit ancaman perdagangan China.

“Prestasi di Wall Street akan dipantau dengan rapat dengan keyakinan nampaknya melonjak menjelang musim pelaporan pendapatan korporat AS,” katanya kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, seorang peniaga lain berkata kecenderungan ke arah aliran meningkat dalam saham permodalan kecil dan sederhana dijangka berterusan ke minggu ini.

Beliau menjangkakan laporan angka kadar pengangguran dan data inflasi Malaysia, yang diumumkan minggu ini, akan sebahagiannya menyumbang kepada sentimen pasaran tempatan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat,  FBM KLCI naik 31.46 mata kepada 1,868.47 daripada 1,837.01 pada minggu sebelumnya.

Indeks utama itu bergerak dalam momentum meningkat dan ditutup hampir pada paras tertingginya dalam tempoh empat tahun pada Khamis sebelum menyusut kembali pada Jumaat ekoran pengambilan untung.

Indeks FBM Emas meningkat 353.26 mata kepada 13,129.52, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 459 mata kepada 13,352.7 dan Indeks FBMT100 naik 300.72 mata kepada 12,921.62

FBM 70 meningkat 651.67 mata kepada 15,819.58 dan FBM Ace naik 607.13 mata kepada 5,646.13.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan menokok 292.91 mata kepada 18,261.84, Indeks Perladangan naik 137.78 mata kepada 8,054.53 dan Indeks Perusahaan menambah 22.48 mata kepada 3,220.98.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 16.59 bilion unit bernilai RM12.55 bilion daripada 12.49 bilion unit bernilai RM10.68 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 10.17 bilion unit bernilai RM11.57 bilion daripada 7.23 bilion unit bernilai RM9.36 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 3.42 bilion unit bernilai RM449.85 juta daripada 1.3 bilion unit bernilai RM945.69 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.97 bilion saham bernilai RM529.98 juta daripada 2.23 bilion saham bernilai RM363.88 juta. — Bernama