Anda di sini

Berkorban demi ibu bapa

Advertisement
 Unit PROJKMS ketika mengadakan lawatan ke rumah Isot di Kampung Dagang, Lundu.
PRIHATIN: Unit PROJKMS ketika mengadakan lawatan ke rumah Isot di Kampung Dagang, Lundu.

LUNDU: Demi ibu bapa tersayang, seorang lelaki sanggup mengorbankan masa depan dan berhenti kerja untuk menjaga dua orang tuanya yang menghidap penyakit kronik.

Mahmud Busrah, 39, sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai di Kuching, terpaksa melupakan hasrat untuk membina kerjayanya sejak 10 tahun lalu demi menjaga ibu bapanya atas faktor kesihatan.

Bapanya, Busrah Sebli disahkan menghidap penyakit angin ahmar (strok) selain mengalami masalah penglihatan menyukarkan dirinya mencari pendapatan untik keluarganya.

Susulan itu, Mahmud balik ke Kampung Dagang di sini, untuk menjaga dan menguruskan kehidupan ibu bapanya yang boleh dikatakan hilang mata pencarian, selepas kematian bapanya pada 2008.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, ibunya menerima nasib sama apabila disahkan menghidap strok separuh badan empat tahun lalu dan tidak mampu berjalan seperti sedia kala.

Isot Barin, 67, hanya bergantung kepada penggunaan kerusi roda untuk bergerak, selain dibantu anaknya.

“Saya ambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa saya yang sakit pada ketika itu.

“Bapa meninggal pada 2008, sebelum itu saya sempat menjaga dan menguruskannya, sebelum emak disahkan menghidap penyakit strok empat tahun lepas,” katanya ketika ditemui Unit Perhubungan Awam Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (PROJKMS) di rumahnya di sini.

Walapun terpaksa mengorbankan kebahagiaan diri sendiri, Mahmud tidak menyesal dengan keputusan yang diambilnya demi menjaga ibunya.

Difahamkan, Mahmud hanya mengambil upah sebagai pekerja am bersama rakan-rakan di kampung jika diperlukan bagi menampung perbelanjaan barang keperluan rumah.

“Dengan skim bantuan warga emas daripada JKMS, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban dalam perbelanjaan barang keperluan seperti lampin, makanan dan lain-lain,” katanya.

Keadaan rumahnya yang kecil yang turut didiami lima ahli keluarga lain ternyata memerlukan perhatian daripada pihak berkaitan bagi memberi ruang yang selesa dan sesuai dengan keadaan ibunya.

Advertisement