Anda di sini

AEON pusat beli-belah mesra keluarga

Advertisement
 AEON Kuching dibuka kepada umum 20 April ini.
BAHARU: AEON Kuching dibuka kepada umum 20 April ini.

KUCHING: Pusat beli-belah pertama AEON CO (M) Bhds (AEON) di Malaysia Timur iaitu AEON Kuching meletakkan kedudukannya dalam landskap peruncitan tempatan sebagai pusat beli-belah mesra keluarga yang akan menyediakan pengalaman membeli-belah baharu kepada pelanggannya.

Dalam satu temu ramah baru-baru ini, Pengarah Urusan AEON Shinobu Washizawa berkata kumpulan yakin bahawa AEON Kuching akan mempunyai prospek cerah dan berpotensi untuk mendapat perkongsian pasaran mampan menerusi model membeli-belah di bawah satu bumbung dan sasaran keluarga berpendapatan sederhana.

“Meskipun AEON Kuching bukan pusat beli-belah terbesar tempatan, ia akan menjadi model baharu berbanding pusat beli-belah yang lain.

“Sebagai kedai barangan am (GMS), AEON Kuching akan menawarkan barangan peruncitan yang baharu dan lebih baik kepada pelanggannya seperti barangan penggunaan harian, makanan, kesihatan, produk kecantikan, pakaian dan banyak lagi.

“Kami mahu pelanggan kami datang ke pusat beli-belah kami, menikmati makanan kami, kemudahan kami dan kesenangan untuk membeli apa sahaja yang mereka perlukan dalam satu tempat.

“Ini adalah konsep GMS dan saya percaya ia akan menjadi pengalaman membeli-belah yang baharu dan unik bagi rakyat Sarawak,” katanya.

Menyasarkan keluarga berpendapatan sederhana, AEON Kuching dilengkapi dengan fasiliti yang menampung keperluan dan kemahuan keluarga dan anak-anak mereka.

Daripada rekaan khas bilik air kanak-kanak sehingga bilik air keluarga dan surau, pusat beli-belah baharu ini tidak hanya destinasi membeli-belah tetapi juga destinasi gaya hidup bagi pelanggan tempatan.

Malah Washizawa juga percaya bahawa pelbagai produk AEON pada harga kompetitif akan terus menjana minat dalam masyarakat umum.

“Rangkaian produk kami adalah amat luas termasuk jenama persendirian Jepun yang baharu di pasaran. Tetapi lebih penting, produk kami semuanya pada harga berdaya saing, terutama bagi jenama persendirian kami seperti TOPVALU.

 “Berikutan jumlah dagangan yang tinggi, kami mampu menjimatkan kos dan menyediakan pelanggan kami dengan tawaran yang lebih baik,” katanya menambah ini adalah sesuatu yang AEON mahu bawakan kepada rakyat Sarawak.

Ditanya sama ada pengguna Sarawak akan menikmati harga yang sama dengan di Semenanjung Malaysia, Washizawa berkata kos logistik yang tinggi menjadi isu dan AEON akan berusaha untuk menyediakan pengguna tempatan dengan harga yang sama di Semenanjung Malaysia.

Satu perkara yang AEON Kuching pasti kongsikan dengan rakan di Semenanjung ialah tebusan, ganjaran dan tawaran ekslusif sebagai ahli AEON.

Selain menyediakan rakyat Sarawak dengan pengalaman membeli-belah baharu, AEON Kuching juga dijangka memberi impak positif kepada masyarakat tempatan dengan membuka peluang pekerjaan serta merangsang ekonomi tempatan.

Menurut pengarah eksekutif AEON, Poh Ying Loo, pusat beli-belah ini mempunyai ruang peruncitan untuk menempatkan lebih 135 penyewa dan telah menarik beberapa jenama dan perniagaan asing seperti Primavera dan UNLIMITED.

“Kami teruja rakyat Sarawak membuka pintu kepada kami kerana kami mahu menunjukkan apa yang kami ada kepada negeri ini. Kami juga percaya kami memanfaatkan masyarakat tempatan dan ekonomi secara keseluruhannya.

“Dengan ruang untuk lebih 135 penyewa, kami menganggarkan bahawa AEON Kuching akan membantu mewujudkan lebih 1,200 peluang  pekerjaan baharu dengan 400 pekerjaan dalam gudang, pengurusan dan perniagaan AEON,” katanya.

Dalam pada itu pembukaan besar-besaran AEON Kuching dijadual pada Jumaat, 20 April ini di mana pusat beli-belah ini mempunyai keluasan 560,000 kaki persegi, ruang perniagaan tiga tingkat serta 1,800 ruang parkir lima tingkat dan satu parkir bawah tanah.

AEON Kuching merupakan yang ke-27 dibuka di Malaysia dan akan menempatkan satu tingkat bagi pasar raya AEON, dua tingkat kedai serbaneka AEON, kedai kesihatan jenama baharu AEON dan rangkaian kedai lain seperti Ubiso, Kaison, SenQ, Popular, Supersave Elite dan Daiso.

Selain itu, AEON Kuching juga dilengkapi dengan kemudahan hiburan seperti panggung wayang (MBO), lounge karaoke (K11), gim (Level Up), tempat permainan kanak-kanak (Mollyfantasy) dan juga medan selera dan minuman.

Advertisement