Anda di sini

Seminar Kesedaran Pelancongan Masyarakat Bidayuh promosi pelancongan berasas komuniti

Advertisement
 Pihak UCSI dan sukarelawan Seminar Kesedaran Pelancongan Masyarakat Bidayuh bergambar bersama di Kampung Taba Sait, BRS, Puncak Borneo baru-baru ini.
SEMINAR: Pihak UCSI dan sukarelawan Seminar Kesedaran Pelancongan Masyarakat Bidayuh bergambar bersama di Kampung Taba Sait, BRS, Puncak Borneo baru-baru ini.

KAMPUS Universiti UCSI Sarawak bersama-sama dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak (MTACYS), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC), Majlis Perbandaran Padawan dan agensi kerajaan lain menganjurkan Seminar Kesedaran Pelancongan Masyarakat Bidayuh di Dewan Serbaguna Kampung Taba Sait di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) di Jalan Puncak Borneo, Kuching baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan kelmarin, seminar tersebut bertujuan mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti, industri inap desa, perkhidmatan pelancongan kreatif serta produk dan kesedaran untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

Seramai 200 peserta dari 10 kampung iaitu Kampung Taba Sait, Kampung Rejoi, Kampung Pain Bojong, Kampung Semban, Kampung Semadang, Kampung Benuk, Kampung Giam Baru, Kampung Giam Lama, Kampung Danu dan Kampung Bengoh telah menghadiri seminar tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Kampus UCSI University Kuching Mukvinder Kaur Sandhu dalam ucapannya berkata bahawa seminar tersebut adalah sangat penting bagi pelajar dan masyarakat setempat.

Justeru pihaknya akan berusaha untuk terus memberi tumpuan kepada projek-projek berasaskan komuniti yang bukan sahaja memberi faedah kepada masyarakat setempat tetapi juga para pelajar universiti yang melihat pentingnya penglibatan dan usaha untuk memberi semula kepada masyarakat, yang merupakan aspek penting pembelajaran universiti hari ini.

Ketua Kluster Wilayah MyCenTHE Sarawak dan pensyarah Kampus UCSI University Sarawak, Bernard Jussem pula berpendapat bahawa seminar itu berupaya mempromosikan pemahaman yang lebih baik dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan industri pelancongan.

Masyarakat setempat juga mendapat pengetahuan tentang bagaimana untuk mendapatkan bantuan daripada agensi pelancongan tempatan apabila mereka memerlukan.

Advertisement