Anda di sini

Lonjak sektor asas tani

 Abang Johari (tengah) bersama (dari kiri) Morshidi, Dr Irwan, Uggah dan Wong merakamkan kenangan bersama pemimpin lain dan masyarakat yang memeriahkan Fiesta NBOS di Dewan Suarah Sarikei, semalam.
TERBAIK: Abang Johari (tengah) bersama (dari kiri) Morshidi, Dr Irwan, Uggah dan Wong merakamkan kenangan bersama pemimpin lain dan masyarakat yang memeriahkan Fiesta NBOS di Dewan Suarah Sarikei, semalam.

SARIKEI: Sarikei dan Tanjung Manis strategik untuk dijadikan pusat pengumpulan hasil pertanian dan penternakan di wilayah tengah Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut diambil untuk membantu golongan petani dan penternak meningkatkan pendapatan mereka.

“Kerajaan serius dalam usaha ini. Bagi merealisasikan pelan ini, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah termasuk membangunkan beberapa kawasan seperti di Saratok, Pakan, Betong dan sekitarnya sebagai kawasan agropolitan.

“Ia juga untuk memastikan setiap hasil agropolitan dapat dikeluarkan dalam kuantiti yang besar dan berkualiti serta memenuhi permintaan pengguna,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Dewan Suarah Sarikei, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Abang Johari berkata, selain lokasi strategik, pemilihan Sarikei dan Tanjung Manis dibuat berdasarkan sumber mentah yang banyak dan pelabuhan laut dalam yang sesuai.

“Sarikei dan Tanjung Manis juga sudah lama terkenal sebagai pusat utama pengeluaran hasil pertanian sama ada buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan produk lain.

“Kerajaan negeri telah menyediakan pelan strategik untuk memastikan perancangan ini dapat berjalan lancar.

“Ini termasuk menjalin hubungan perdagangan dua hala dengan negara jiran seperti Singapura untuk menjadi lokasi utama bagi memasarkan hasil pertanian dari kawasan ini dan persetujuan telah pun dicapai.

“Pada masa sama, kerajaan negeri turut merancang untuk membeli sebuah kapal terbang kargo khas untuk membawa hasil pertanian dari pusat pengumpulan hasil ke destinasi-destinasi tertentu untuk memenuhi permintaan pasaran luar,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk membina Wisma Sarikei bagi memantapkan pentadbiran di kawasan ini.

Kerajaan negeri katanya, turut meluluskan peruntukan berjumlah RM11 juta untuk membangunkan kawasan Kampung Susur Jambu menjadi sebuah penempatan masyarakat terancang.