Anda di sini

Pemandu syarikat luar pantai disyaki edar dadah diperintah reman

Advertisement

MIRI: Seorang pemandu di sebuah syarikat luar pantai yang ditangkap kerana disyaki mengedar dadah diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai Penyiasat Inspektor Liew Wai Leong dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Dalam permohonannya, Liew memberitahu bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis diketuai Sub Inspektor Bakar Drahman dari BSJND Miri telah membuat serbuan ke sebuah rumah yang terletak di Kampung Pulau Melayu di sini.

Dalam serbuan jam 10.20 pagi, 12 April itu, polis telah menahan seorang lelaki yang berada di dalam bilik tidur di rumah berkenaan untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Polis yang membuat pemeriksaan fizikal ke atas suspek tidak menjumpai apa-apa yang menyalahi undang-undang.

Manakala pemeriksaan lanjut dalam bilik tidur itu telah menjumpai satu beg plastik berwarna merah yang di dalamnya mengandungi satu bekas tin segi empat berwarna oren dan berisi empat peket plastik lutsinar.

Keempat-empat peket plastik itu didapati mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 10.81 gram.

Barang disyaki dadah kemudian dirampas dan suspek ditangkap serta dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk disiasat lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala hasil ujian air kencing suspek menunjukkan kesan negatif dadah.

Dalam permohonan lanjutnya Liew berkata, reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 36 tahun amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan beramaran suspek dan membebaskan dia lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mah-kamah hanya membenarkan reman tiga hari ke atas suspek dan tempoh reman akan tamat pada 16 April ini.

Advertisement