Anda di sini

Dua lelaki mengaku tidak bersalah beri keterangan palsu di mahkamah

Advertisement

MIRI: Dua lelaki dalam dua kes berasingan masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan memberi keterangan palsu di mahkamah.

Paul Boniface Ampan dan Sim Chien Hui, masing-masing telah didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kes pertama, Paul telah didakwa memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes PP lawan Mohamad Fitri Pauzi dan tiga yang lain di hadapan Hakim Ravinthran Paramaguru.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 pagi, 30 Mac 2017 di Mahkamah Tinggi Miri.

Manakala dalam kes kedua, Sim didakwa melakukan kesalahan serupa dengan memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes PP lawan Mohamad Fitri Pauzi dan tiga yang lain di hadapan Hakim Ravinthran Paramaguru.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 2.55 petang, 30 Mac 2017 di Mahkamah Tinggi Miri.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan kedua-dua tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md. Hilmie yang mendengar kes itu membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 24 April ini untuk pengurusan kes.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan masing-masing RM5,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Dalam perbicaraan kes itu, Paul dan Sim masing-masing merupakan saksi pendakwaan ke-26 dan ke-27 serta merupakan tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan juga dikenakan perintah kediaman terhad.

Advertisement