Anda di sini

Sarawak kini memiliki 25 peratus ekuiti MLNG Tiga

Advertisement
Abang Johari menyaksikan Ahmad Tarmizi (dua kiri) bertukar dokumen pengambilalihan 15 peratus ekuiti MLNG Tiga dengan Lo. Turut kelihatan Rundi dan Wong.
Abang Johari menyaksikan Ahmad Tarmizi (dua kiri) bertukar dokumen pengambilalihan 15 peratus ekuiti MLNG Tiga dengan Lo. Turut kelihatan Rundi dan Wong.

KUCHING: Sarawak akan memiliki 25 peratus daripada pegangan saham dalam Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd (MLNG Tiga) selepas Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak bersetuju memperoleh 15 peratus lagi pegangan saham daripada Shell Gas Holdings (Malaysia) Limited anak syarikat Royal Dutch Shell.

Sebelum ini Setiausaha Kewangan Negeri memiliki 10 peratus pegangan saham dalam MLNG Tiga.

Pemegang saham lain dalam MLNG Tiga terdiri daripada Petronas sebanyak 60 peratus ekuiti, dan Diamond Gas (Netherlands) B.V., anak syarikat Mitsubishi Corporation, lima peratus.

Malaysia LNG Sdn Bhd, anak syarikat Petronas mengendalikan MLNG Tiga sebagai sebahagian daripada Kompleks Petronas LNG di Bintulu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang media selepas majlis menandatangani pengambilan pegangan saham Shell oleh kerajaan negeri dalam MLNG Tiga berkata ia merupakan satu lagi inisiatif Sarawak untuk terlibat aktif dalam industri minyak dan gas.

"Ini menandakan satu lagi kejayaan dalam industri minyak dan gas. Seperti kita tahu MLNG Satu, MLNG Dua dan MLNG Tiga pada masa sama MLNG 39 dan dalam MLNG Tiga sebelum ini kita hanya ada 10 peratus pegangan saham.

"Sekarang kita memperoleh 15 peratus lagi pegangan saham daripada Shell maknanya kita ada 25 peratus ekuiti dalam MLNG Tiga, blok kedua terbesar dalam MLNG Tiga," katanya.

Abang Johari juga memberitahu ia merupakan sebahagian daripada pelaburan strategik kerajaan negeri untuk Sarawak terlibat aktif dalam industri minyak dan gas.

"Maknanya saya menunaikan janji atau kata-kata saya, tetapi ia perlu dibincang dengan baik dan berlandaskan perlembagaan dan undang-undang tertulis kita.

"Jadi kita akan terlibat dalam industri minyak dan gas ini secara berperingkat. Menerusi pendekatan ini saya percaya dalam jangka masa pendek kita dapat menerokai bidang baharu dalam industri huluan juga hiliran minyak dan gas dalam pematuhan undang-undang kita," jelasnya.

Pada majlis menandatangani pengambilan 15 peratus pegangan saham MLNG Tiga itu, Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Ahmad Tarmizi Sulaiman mewakili Sarawak manakala Shell diwakili Pengerusi Shell Malaysia Datuk Iain Lo.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

  • oleh
  • Advertisement