Anda di sini

Mangsa berita palsu

 Kebakaran didakwa berlaku di Miri sebenarnya adalah berita palsu.
PALSU: Kebakaran didakwa berlaku di Miri sebenarnya adalah berita palsu.

MIRI: Dakwaan menyatakan bahawa Imperial Hotel di sini terbakar menerusi satu video berdurasi 20 saat yang tular di media sosial semalam disahkan berita palsu disebarkan individu tidak bertanggungjawab.

Imperial Hotel menerusi kenyataan dikeluarkan di laman Facebooknya semalam mengesahkan bahawa video tersebut sama sekali tidak berkaitan dengan mana-mana Imperial Group of Hotels di Sarawak.

“Imperial Hotel, Miri amat menghargai keprihatinan orang awam terhadap isu video tular tersebut,” katanya.

 Imperial Hotel, Miri mengeluarkan kenyataan di laman Facebook mereka menafikan hotel berkenaan terbakar.
PENJELASAN: Imperial Hotel, Miri mengeluarkan kenyataan di laman Facebook mereka menafikan hotel berkenaan terbakar.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong ketika dihubungi semalam memberitahu bahawa kejadian kebakaran tular menerusi video itu berlaku di Jambi, Indonesia.

“Saya menasihati orang awam agar tidak sewenang-wenangnya menularkan berita tidak benar dalam laman sosial atau aplikasi sembang sosial, apa lagi apabila menyatakan nama tempat dan nama bangunan.

“Sekiranya ada sebarang pertanyaan atau kemusykilan hubungi terus balai bomba terdekat untuk mendapatkan pengesahan sebelum menularkan kes yang tidak berlaku di Miri,” katanya.

Law berkata, tindakan menyebarkan berita palsu boleh membawa padah kepada tukang sebar, kerana pihak tertentu boleh mengambil tindakan sepatutnya.

“Lebih memalukan jika tukang sebar itu adalah dari Miri kerana dia sendiri tidak ambil tahu apa yang berlaku di sekelilingnya,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menasihati orang ramai agar mengurangkan dan mengawal pembakaran terbuka ketika cuaca panas.

Jika berlaku kecemasan, orang awam boleh menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri di talian 085-420991 dan BBP Lopeng di talian 085-422973.