Anda di sini

PEIP sedia pusat kecemerlangan global MRO, IRM minyak dan gas pertama di negara ini

Advertisement
 Mohamed Khaled (tengah), Pengarah Urusan Serba Dinamik Holdings Berhad Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah (tiga, kanan) dan Pengarah Urusan Perisind Samudera Sdn Bhd Datuk Mohd Shafiee Mohd Sanip (dua, kanan) menggunakan Virtual Reality Box (VR-Box) sebagai gimik Pecah Tanah Pengerang Eco Industrial Park (PeIP) di Pengerang semalam. — Gambar Bernama
CANGGIH: Mohamed Khaled (tengah), Pengarah Urusan Serba Dinamik Holdings Berhad Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah (tiga, kanan) dan Pengarah Urusan Perisind Samudera Sdn Bhd Datuk Mohd Shafiee Mohd Sanip (dua, kanan) menggunakan Virtual Reality Box (VR-Box) sebagai gimik Pecah Tanah Pengerang Eco Industrial Park (PeIP) di Pengerang semalam. — Gambar Bernama

KOTA TINGGI: Taman Perindustrian Eko Pengerang (PeIP) akan menyediakan Pusat Kecemerlangan Global penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan (IRM) minyak dan gas yang pertama di negara ini selain ‘Plant Turnaround Village’ (PTV).

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pusat itu akan memberi perkhidmatan sokongan kepada industri minyak dan gas bukan sahaja di peringkat tempatan malah di luar negara.

Katanya projek bernilai RM1.5 bilion itu merupakan projek perkhidmatan sokongan pertama yang terdapat di rantau Asia Tenggara dengan fasa pertama dan kedua dijangka siap pada tahun 2020.

“Terdapat tiga fasa pembinaan bagi projek PeIP yang merangkumi komponen PTV untuk Fasa I, diikuti MRO dan IRM bagi Fasa II yang bernilai RM1 bilion. Fasa III ialah pembinaan Pusat Komersial Antarabangsa Pengerang.

“Ini sangat penting kerana ia memberi sokongan kepada peserta industri minyak dan gas di rantau ini. Sebelum ini, kalau ada mesin yang rosak, mereka perlu hantar ke Eropah untuk baik pulih tetapi sekarang mereka tidak perlu hantar jauh sebab di Pengerang sudah ada (perkhidmatan baik pulih),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Projek PeIP yang merupakan usaha sama antara syarikat Serba Dinamik Holdings Berhad dan Persind Samudra Sdn Bhd di Pengerang, di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata pelaburan tersebut meletakkan Pengerang di peta dunia kerana ia merupakan industri sokongan yang sangat diperlukan oleh industri minyak dan gas terutamanya Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) oleh Petronas di Pengerang.

“Projek ini turut memberi peluang kepada anak-anak tempatan terutamanya anak Johor untuk terlibat dalam projek seperti ini melalui Program Pembangunan Vendor dan Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Kerajaan negeri amat menyokong pelaburan ini kerana ia memberi peluang kepada warga tempatan untuk merasai impak pelaburan selain memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara  itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata pembinaan PeIP mendapat maklum balas positif daripada pemain industri minyak dan gas di rantau ini kerana ia merupakan keperluan dalam memastikan kelangsungan operasi industri tersebut.

“Kita mendapat maklum balas yang baik daripada negara-negara Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat serta Timur Tengah.

“Apa yang kita perlu lakukan sekarang ialah menyelesaikan beberapa proses perundangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum boleh memulakan pajakan dan sewaan peralatan,” katanya.

Katanya pusat itu akan dilengkapi dengan teknologi terkini selaras dengan Revolusi Industri 4.0 yang mengguna pakai Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Data Raya dan mesin ‘High Speed Balancing’ yang tidak terdapat di mana-mana negara di Asia Tenggara dan Timur Tengah. — Bernama

Advertisement