Anda di sini

Gaji kakitangan awam Sarawak dinaikkan

Advertisement

Kerajaan negeri naikkan gaji kakitangan awamnya satu kenaikan gaji tahunan.

 Abang Johari turut menghulurkan sumbangan peribadi beliau untuk Tabung Bantuan Mangsa Long Peluan yang musnah dalam kebakaran pada malam 5 April lalu, sambil disaksikan tetamu lain dan Sherrina (kanan) yang menerimanya bagi pihak penduduk rumah panjang.
SUMBANGAN: Abang Johari turut menghulurkan sumbangan peribadi beliau untuk Tabung Bantuan Mangsa Long Peluan yang musnah dalam kebakaran pada malam 5 April lalu, sambil disaksikan tetamu lain dan Sherrina (kanan) yang menerimanya bagi pihak penduduk rumah panjang.

MIRI: Kerajaan Negeri Sarawak semalam mengumumkan kenaikan gaji untuk lebih 20,000 kakitangan awam mengikut langkah diambil Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Rabu lepas.

Berita gembira itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam dan berkata kenaikan itu akan dikuatkuasakan serta-merta. 

"Ya, kita akan memberikan kenaikan gaji satu kenaikan gaji tahunan, berkuat kuasa serta-merta. 

“Perkara ini saya serahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani) untuk menguruskannya," katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Beliau berkata kenaikan itu sejajar dengan kenaikan gaji kakitangan awam persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 April lalu. 

Sebelum itu, beliau turut mengumumkan berita gembira yang sama semasa temu bual khas dengan juruhebah radio di studio mini RTM di Pameran Sejiwa Senada semalam, selepas merasmikan program Sejiwa Senada Miri di sini. 

"Ekonomi kita sudah bertambah baik, kenapa tidak kita bahagi-bahagikan (kepada kakitangan awam negeri)," katanya dalam temu bual tersebut. 

Sementara itu, bagi kakitangan awam persekutuan, kenaikan gaji khas bagi 2018 untuk 1.6 juta orang penjawat awam seluruh negara berkuat kuasa 1 Julai depan. 

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai manifesto Sarawak, Abang Johari berkata beliau akan melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri di Kuching pada 9 April ini. 

“Manifesto BN Negeri akan sejajar dengan manifesto BN di peringkat pusat yang dilancarkan Pengerusi BN Pusat Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi (kelmarin),” katanya sambil menambah, ia adalah kesinambungan manifesto berkenaan. 

Terdahulu sejurus merasmikan program Sejiwa Senada, Abang Johari turut mengumumkan bantuan berjumlah RM100,000 daripada kerajaan negeri untuk membantu mangsa dari 19 pintu rumah panjang Long Peluan di Ulu Baram, yang musnah dalam kebakaran pada 5 April, jam 11 malam. 

Pengumuman itu dibuat semasa beliau menyerahkan tabung bantuan daripada pelbagai pihak termasuk individu untuk mangsa kebakaran Long Peluan, kepada Residen Bahagian Miri Sherrina Husaini bagi pihak penduduk kampung.  

Menurut Abang Johari peruntukan itu digunakan untuk membantu mangsa kebakaran membina semula rumah panjang mereka. 

Hadir sama di majlis tersebut ialah isteri beliau, Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang serta ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan menteri-menteri kabinet negeri yang lain dan Setiausaha Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani. 

  • oleh
  • Advertisement