Anda di sini

Bank Islam sasar penguasaan pasaran pembiayaan perdagangan lebih besar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank-bank Islam di Malaysia sedang berusaha meningkatkan penguasaan pasaran pembiayaan perdagangan mereka melalui pelbagai langkah.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bhd, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, bank itu berhasrat untuk mengembangkan kemudahan perdagangannya selaras dengan peningkatan permintaan untuk pembiayaan Islam di Malaysia dan rantau ASEAN serta pertumbuhan industri halal global yang kukuh.

Sehingga kini, Maybank Islamic menguasai  kira-kira satu pertiga dari segi kemudahan perdagangan yang dilaksana di bawah bank Islam, katanya.

Menurutnya, setakat 2015, hanya 3.4 peratus  daripada perdagangan antarabangsa berjumlah AS$50 bilion (AS$ =RM3.86) dikendalikan melalui bank Islam

“Bagi kami di Maybank Islamic, kami ingin terus mengekalkan penguasaan pasaran kami (untuk perdagangan) serta berkembang seiring dengan industri itu.

“Kami juga mempunyai kehadiran di ASEAN dan lebih meluas di seluruh dunia, contohnya, di China, UK dan Majlis Kerjasama Teluk. Kami mahu benar-benar menggalakkan bukan sahaja kemudahan perdagangan Islam tetapi juga pembiayaan Islam yang lebih luas serta pasaran modal,” katanya.

Mohamed Rafique bercakap kepada pemberita selepas Forum Ketua Pegawai Eksekutif mengenai ‘Kewangan Perdagangan Islam: Mencergaskan Perdagangan dan Membuka Potensi Baru’ di sini kelmarin.

Forum ini dianjurkan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2018.

Mohamed Rafique berkata, banyak lagi yang dapat dilakukan untuk meningkatkan kemudahan perdagangan Islam yang berjumlah 1.5 peratus daripada AS$50 bilion.

“Malaysia berada pada 3.4 peratus. Banyak  lagi yang boleh dilakukan. Antara bidang yang kita kenal pasti seperti kesedaran dan penerimaan yang boleh dibandingkan dan mereka juga dapat memenuhi kehendak mana-mana peserta di dalam perdagangan,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd, Datuk Adissadikin Ali berkata, bank Islam perlu bekerjasama dengan penggiat  teknologi kewangan untuk menyediakan pembiayaan perdagangan e-dagang.

Menurutnya, tidak banyak bank melihat kepada pembiayaan perdagangan e-dagang secara besar-besaran kerana industri itu menyimpang daripada kebiasaan bank.

“Kami sering melakukan penilaian kredit berdasarkan dokumen dan ke atas syarikat yang sudah kukuh. Apabila anda bercakap mengenai e-dagang, biasanya ini adalah orang yang baru tetapi mereka melakukan e-dagang besar-besaran.

“Jadi, ketika mereka berkembang, masalah terbesar yang dihadapi golongan ini sebenarnya modal kerja, tidak ada sesiapa yang memiliki modal yang banyak,” kata Adissadikin.

Adissadikin berkata, RHB Islamic Bank sedang membangunkan platform pembiayaan e-dagang untuk membolehkan syarikat meningkatkan modal kerja dan platform itu mungkin dilaksanakan tahun depan.

“Kami akan melibatkan diri secepat mungkin, ini sesuatu yang baru, walaupun dalam kumpulan perbankan kami. Banyak sosialisasi perlu dilakukan dengan pegawai pengurusan risiko kami dan prosesnya perlu diperiksa,” katanya. — Bernama

Advertisement