Anda di sini

5 Soalan Menilai Diri Untuk Maju Sebagai Pemimpin Hebat

Advertisement

Dalam hidup, cuma ada beberapa peranan sahaja yang lebih istimewa daripada menjadi seorang pemimpin. Dengan kuasa datangnya tanggungjawab yang berat, dan tanggungjawab yang berat ini menuntut kita untuk sentiasa menilai diri dan setakat mana telah kita berkembang maju.

Saya berani berkata, tidak ada satu hari pun yang berlalu tanpa saya mengambil masa untuk berhenti sejenak dan bersyukur kerana berpeluang memegang jawatan sebagai pemimpin. Cabaran dan rintangan pasti ada. Ada hari segalanya berjalan lancar, ada hari pula terasa perit.

Betullah kata orang, bukan semua keputusan yang kita tentukan hari ini akan membuahkan hasil serta-merta. Namun tidak ada yang lebih murni daripada peluang menjadi barisan hadapan sebuah pasukan yang berusaha merealisasikan sebuah visi yang bermakna dan memberi impak untuk masa depan.

Merenung dan bersyukur

Semasa membuat renungan, saya sentiasa berasa syukur kerana adanya rakan-rakan sekerja yang kuat berusaha dan memberi segenap masa dan tenaga demi mencapai sebuah matlamat yang sangat bermakna, lebih penting daripada kami sendiri.

Komitmen dan dedikasi tanpa mengenal erti lelah menjadikan kami sentiasa sedar bahawa tidak kira betapa tenatnya keadaan, kami boleh mengatasi apa-apa cabaran, betapa perit sekalipun, apabila ada teman yang sentiasa menemani.

Memimpin melalui teladan

Dan sebagai seorang pemimpin, tatkala kita harapkan standard tertentu daripada pekerja, jawatan yang dipegang ini menuntut kita untuk meletakkan standard yang lebih tinggi untuk diri sendiri.

Kita selalu dengar bahawa pemimpin ialah seseorang yang “memimpin melalui teladan”. Maka ini adalah pendorong terbaik untuk kita terus mula menilai diri dengan lebih teliti, membolehkan kita sedar akan kekuatan diri sebagai seorang pemimpin dan aspek yang perlu kita perbaiki dengan jelas.

Kita perlu memperuntukkan suatu tempoh untuk menilai diri dengan kerap supaya kita sentiasa berada dalam landasan yang betul dalam usaha mendayaupayakan tenaga kerja kita, bergerak maju mencapai visi dan mewujudkan sebuah legasi yang mampan dalam jangka masa panjang.

Lain pemimpin, lain cara menilai diri

Sesetengah pemimpin mungkin melihat kembali minit-minit dalam interaksi harian. Yang lain pula akan menilai diri sekali dalam beberapa bulan dan melihat secara keseluruhan bagaimana mereka memberi impak terhadap kakitangan dan organisasi.

Saya pula lebih suka ajukan soalan pada diri untuk betul-betul memahami maksud sebenar menjadi seorang pemimpin, dengan maklum balas yang menunjukkan takat mana pencapaian saya, manakala orang lain pula membantu memberi penekanan akan aspek yang perlu saya perbaiki.

Ingin saya kongsi lima soalan yang sering saya ajukan pada diri, dengan harapan ini akan mendorong lebih ramai orang untuk mengamalkan tabiat menilai diri.

Sama ada anda seorang pemimpin atau tidak, soalan sebegini boleh membantu anda memantapkan kekuatan diri dan membuat apa-apa penambahbaikan mengikut keperluan.

Ini sememangnya akan meningkatkan kemampuan anda dalam memberi khidmat dan manfaat dengan lebih baik kepada diri sendiri dan orang lain.

1. Adakah jawapan kepada soalan ‘Mengapa’ bagi perkara yang sedang saya lakukan sama seperti dahulu?

Walaupun keutamaan, perancangan dan cara sesuatu dilaksanakan berubah dari masa ke masa, sebab utama mengapa anda lakukan apa yang anda kerjakan sekarang haruslah menjadi batu asas yang membina segala-galanya. Jika anda rasa mengapa ini sudah tersasar, ini mungkin petanda bahawa anda telah menyimpang daripada nilai atau visi, banyak ataupun sedikit. Jika ini yang terjadi, langkah seterusnya adalah bertanya pada diri akan perkara yang perlu anda lakukan dalam jangka masa pendek atau panjang, supaya anda dapat kembali ke pangkal jalan.

2. Bagaimana saya membentuk diri menjadi seorang pemimpin?

Mana-mana pemimpin yang rasa mereka sudah “arif dalam semua perkara” apabila mencapai suatu tahap, ini sebenarnya mengundang bencana pada diri sendiri. Apabila sesuatu urusan yang dikendalikan berjalan lancar, anda rasa seolah-olah sudah tahu semua benda berkenaan kerja dan industri yang anda ceburi. Ramai orang mudah jatuh dalam perangkap sebegini. Namun, seperti mana-mana aspek kehidupan, ada sepak terajangnya. Hanya pemimpin yang sentiasa tangkas, ingin tahu dan terus belajar yang dapat menyesuaikan diri dengan ujian terbesar dan tidak terjangka ini.

3. Adakah saya mudah dihubungi?

Ramai pemimpin mengamalkan “polisi terbuka”, yang bermaksud sesiapa sahaja boleh datang berjumpa dan berbual dengan mereka pada bila-bila masa. Ini merupakan permulaan yang baik, namun untuk menjadikan diri mudah dihubungi, ini tidak terhad pada perjumpaan fizikal sahaja. Kita perlu ajukan soalan seperti: Adakah saya seorang pendengar yang baik? Adakah saya beri sokongan yang cukup kepada kakitangan? Adakah saya berusaha tunjukkan penghargaan dengan ikhlas atas sumbangan mereka? Adakah saya ambil kira saranan dan idea orang lain seperti yang saya fikirkan?

4. Adakah maklum balas yang saya peroleh itu mencukupi?

Salah satu tindakan paling berani yang boleh dilaksanakan seseorang pemimpin adalah mendapatkan maklum balas yang jujur dan membina berkenaan prestasi mereka. Ini boleh dilakukan sama ada dengan persekitaran formal dalam kumpulan, atau secara santai melalui perbualan bersemuka sambil minum kopi. Apa pun pilihan anda, pemimpin lebih memerlukan maklum balas berbanding orang lain kerana kita lebih mudah menerima komen positif daripada orang lain, sama ada yang ikhlas atau sebaliknya. Dengan ini, para pemimpin perlu lebih giat mendapatkan cadangan berkenaan aspek yang boleh ditambahbaikkan. Ini mungkin menyebabkan ego anda tercalar, namun seperti kata pepatah, Tak Sakit, Tak Dapat Apa-Apa, ini sememangnya cara yang terbaik dalam memastikan seseorang pemimpin terus berkembang.

5. Jika saya salah seorang daripada pekerja, berapa markah yang akan saya beri pada diri – dan apa sebabnya?

Menilai diri adalah kerja yang rumit memandangkan ada macam-macam pendirian berat sebelah yang kita jadikan sebagai mekanisme penghadang untuk menolak kritikan. Untuk memperoleh kebolehan mengesan pandangan yang jujur tentang diri, ini merupakan kemahiran yang diasah masa demi masa. Bagi melancarkan proses ini, saya suka letakkan diri di tempat rakan sekerja seorang demi seorang, dan cuba memberi markah pada diri dari sudut pandang mereka, sejujur yang mungkin. Dari sini, jika ada apa-apa isu, saya akan ajukan soalan pada diri tentang sebab sesuatu masalah itu timbul dan cara untuk bertindak menanganinya. Dengan pendekatan sebegini, saya dapat berusaha membina hubungan yang terbaik dengan semua orang yang bekerja bersama-sama saya.

Apakah soalan-soalan yang anda ada berhubung penilaian diri? Saya sangat berterima kasih jika anda sudi berkongsi cara anda memastikan diri bertindak mengikut landasan yang betul dan membentuk diri menjadi yang terbaik. Anda dialu-alukan untuk memberi sepatah dua kata dalam bahagian komen. Pandangan anda sangatlah saya hargai!

Sumber

  • oleh
  • Advertisement