Anda di sini

MPC Wilayah Sarawak komited perkasa organisasi di negeri ini

Advertisement

KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak komited memperkasa organisasi di negeri ini, kata pengarahnya Tengku Azmi Tengku Majid.

Sehubungan itu penting untuk MPC Wilayah Sarawak kekal relevan dan berupaya menyara diri sendiri lebih-lebih lagi dalam persekitaran hari ini yang kian mencabar ditambah dengan kekangan sumber.

“Bagi merealisasikan visi dan misi MPC, MPC Wilayah Sarawak tidak mempunyai pilihan selain untuk bersedia dengan strategi yang bersesuaian.

“SKO 2026 merupakan rancangan jangka panjang yang akan dijadikan sebagai asas dalam menyusun strategi yang perlu dikaji semula dari semasa ke semasa sesuai dengan keperluan dan persekitaran,” katanya dalam perutusan rancangan Pejabat Wilayah Sarawak (SKO) 2026.

SKO 2026 merupakan rancangan 10 tahun MPC Wilayah Sarawak bagi menyokong visi dan misi MPC.

Visi MPC adalah untuk menjadi organisasi utama dalam meningkatkan produktiviti untuk inovasi dan daya saing global.

Manakala misi MPC adalah untuk memberi perkhidmatan berkesan untuk mencapai prestasi cemerlang melalui inovasi ke arah meningkatkan taraf hidup MPC.

SKO 2026 adalah berasaskan cita-cita Sarawak untuk menjadi sebuah organisasi mampan dan sara diri menjelang 2026 dengan memberi perkhidmatan berimpak tinggi.

Dalam pada itu, Azmi semalam turut memberi taklimat kepada Pengerusi MPC Malaysia Tan Sri Azman Hashim dan ahli-ahli lembaga pengarah MPC berhubung SKO 2026 tersebut.

Taklimat tersebut adalah sempena kunjungan Azman ke Pejabat Wilayah Sarawak MPC bagi pelancaran papan tanda baharu.

Antara ahli lembaga pengarah MPC yang turut hadir semalam Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg.

Papan tanda baharu yang dilancarkan semalam mengambil konsep motif Sarawak di mana latar belakang papan tanda ini direka bentuk berkonsepkan tenunan kain pua kumbu atau dikenali juga sebagai tenunan ikat.

Seni tenunan ini dihasilkan oleh wanita Iban di Sarawak dan sangat popular di negeri ini.

Warna yang dipilih pula adalah warna korporat MPC iaitu warna merah, hitam dan putih.

Advertisement