Anda di sini

MPC Wilayah Sarawak akan adakan 56 program pembangunan kapasiti

Advertisement
 Wong bagi pihak ketua menteri menerima Laporan CMIEA 2017 daripada Azman. Turut kelihatan Abang Abdul Karim (kiri) dan Putit (kanan).
KEJAYAAN: Wong bagi pihak ketua menteri menerima Laporan CMIEA 2017 daripada Azman. Turut kelihatan Abang Abdul Karim (kiri) dan Putit (kanan).

KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak akan mengadakan 56 program pembangunan kapasiti tahun ini yang memfokus kepada memperkukuhkan organisasi cemerlang untuk ekonomi digital.

Pengerusi MPC Tan Sri Azman Hashim berkata program pembangunan kapasiti meliputi latihan, bengkel, seminar, forum, syarahan dan lawatan sambil belajar amalan terbaik.

“Program-program ini direka bentuk bagi membantu organisasi di Sarawak untuk memulakan perjalanan ke arah kecemerlangan.

“MPC Wilayah Sarawak telah mereka bentuk program-program untuk semua peringkat penyertaan bermula dari pengurusan kanan, pengurusan pertengahan hingga peringkat bukan eksekutif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam MPC Bersama Industri Sarawak yang dihadiri Menteri Perdagangan Antara Bangsa dan E-Dagang yang juga Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

Wong mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Mengenai pencapaian tahun 2017, Azman berkata MPC Wilayah Sarawak merekodkan 76 program pembangunan kapasiti melibatkan 2,241 peserta.

Beliau berkata peningkatan jumlah penyertaan hampir tiga kali ganda berbanding pada 2016 iaitu 778 peserta.

Tambahnya ia juga menunjukkan komitmen serta kerjasama jitu yang diberikan peserta dan organisasi masing-masing untuk mewujudkan sinergi diinginkan ke arah kecemerlangan.

“Ini tidak dapat direalisasikan jika MPC tidak mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat serta industri-industri di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Azman berkata Sarawak negeri pertama memperkenalkan program anugerah kecemerlangan industri sebagai usaha persendirian sektor swasta.

“Tahniah kepada Sarawak kerana menganjurkan program anugerah berprestij ini, Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) pada tahun lalu.

“CMIEA 2017 diperkenalkan sebagai program anugerah baharu dikendalikan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dan dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Sarawak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan MPC,” katanya.

Beliau berkata MPC Wilayah Sarawak dengan kerjasama SBF mengambil inisiatif mendokumentasikan 10 syarikat yang menerima pengiktirafan Anugerah Emas.

Anugerah itu katanya, akan diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Pada majlis itu juga menyaksikan MPC Wilayah Sarawak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi membolehkan pelaksanaan program kecemerlangan perniagaan dilaksanakan untuk semua agensi di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS).

Hadir sama Presiden SBF Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg, Pengerusi TBS Datu Putit Matzen, Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan Pengarah MPC Wilayah Sarawak Tengku Azmi Tengku Majid.

Advertisement