Anda di sini

PRU14: BN Sarawak sasar menang di 28 kerusi parlimen

Advertisement
Abang Johari (empat kiri) ketika menyerahkan peruntukan kepada Abdul Yakub (kiri sekali) disaksikan yang lain dalam majlis perasmian Pesta Balingian@Sesok 2018.
Abang Johari ketika menyerahkan peruntukan kepada Abdul Yakub (kiri) disaksikan yang lain dalam majlis perasmian Pesta Balingian@Sesok 2018.

MUKAH: Barisan Nasional (BN) Sarawak meletakkan sasaran untuk menang di 28 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) akan datang.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ia termasuk merampas kembali beberapa kerusi yang diambil pembangkang dalam PRU lalu.

"Kita sasar 28 kerusi (parlimen) untuk dimenangi dalam PRU14 nanti," katanya dalam ucapan perasmian Pesta Balingian@ Sesok 2018 bertempat di Kampung Sesok, hari ini.

Menurutnya, ia perlu demi memastikan keutuhan serta kekuatan BN di peringkat negeri ini.

"Kita perlu tunjuk kekuatan kita (BN) kepada Putrajaya dan bakal memudahkan kita membuat apa-apa permintaan," ujarnya.

Beliau merujuk kepada rundingan terhadap perkara-perkara yang menjadi kepentingan serta keperluan negeri ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Senang untuk kita berunding dengan kerajaan persekutuan kerana kita sudah tunjuk kekuatan (kemenangan dalam PRU14 nanti)," ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan kekuatan perpaduan yang menjadi kekuatan politik sehingga kini untuk tidak diabaikan.

Ini katanya termasuk konflik antara parti seperti Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang berjaya diselesaikan.

"Sudah tandatangan (MoU antara UPP-SUPP), saya sendiri lihat," jelasnya lagi.

Pada PRU 2013, BN Negeri berjaya menguasai 25 daripada 31 kerusi Parlimen. Kerusi Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dipegang oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) manakala Miri dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya dan Ahli Parlimen Mukah Tan Sri Muhammad Leo Toyad.

  • oleh
  • Advertisement