Anda di sini

PPWS digesa cari kaedah baharu tingkat pendapatan wanita luar bandar

Advertisement
Nancy beramah mesra dengan ahli-ahli PPWS pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sesi 2018-2020, malam ini.

KUCHING: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) perlu mencari kaedah baharu untuk mendokong aspirasi Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pendapatan wanita khususnya di luar bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Dasar Ekonomi Digital Sarawak yang diperkenalkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg jelas menumpukan kawasan luar bandar untuk dimajukan bagi mengurangkan penghijrahan anak muda desa ke bandar.

"Maka sebagai pertubuhan wanita yang telah banyak membawa kemajuan kepada kehidupan wanita di luar bandar sejak awal penubuhannya, adalah wajar PPWS mencari kaedah baharu untuk mendokong aspirasi Kerajaan Negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun PPWS Sesi 2018-2020 di Hotel Hilton malam ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memberitahu, jumlah ahli PPWS adalah seramai 15,316 orang di 420 buah cawangan seluruh Sarawak. 

"Saya berharap PPWS akan terus berusaha untuk meningkatkan jumlah ahli wanita muda di seluruh kawasan luar bandar di Sarawak," tambahnya.

Menyentuh mengenai ledakan Revolusi Industri 4.0, Nancy berkata, ia bakal menyaksikan pelbagai perubahan termasuk perspektif berbeza dari segi peranan kaum wanita dalam memenuhi keperluan masa depan.

"Sesungguhnya, ini adalah masa terbaik untuk kita mengubah persepsi dan stigma sosial mengenai karakter dan peranan kaum wanita. 

"Malah, kaum wanita masa kini sudah mula menunjukkan bahawa kita bukan sahaja mampu berdikari tetapi kita juga mampu membina empayar kita sendiri," katanya.

Menurut Nancy lagi, bersempena Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW 2018) yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, "Wanita Gemilang" dipilih sebagai slogan.

Tegasnya, permerkasaan wanita akan memberi penekanan kepada lima kluster selaras dengan Dasar Wanita Negara iaitu Kluster Wanita dan Kesihatan (Gaya Hidup, Kecantikan dan Sukan), Kluster Wanita dan Keselamatan, Kluster Wanita dan Ekonomi, Kluster Wanita dan Pendidikan (Latihan dan Pembangunan Kapasiti) dan Kluster Wanita dan Budaya (Kesenian dan Media).

"Justeru, saya berharap pucuk pimpinan baru PPWS bagi sesi 2018-2020 mengambil peluang yang disediakan Kerajaan untuk terus memperkayakan golongan wanita di negeri ini," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement