Anda di sini

Maritim Malaysia sahkan dua anak kapal warga China ditemui selamat

Advertisement

MUAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesahkan dua daripada 14 anak kapal korek pasir  JBB Rong Chang 8 yang dilaporkan hilang selepas kapal itu  terbalik di perairan Parit Jawa di sini pada Rabu, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) petang semalam

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata kedua-dua lelaki itu merupakan warga China.

Kedua-dua mangsa mengalami dehidrasi dan telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk rawatan lanjut.

“Anggota penyelam menemui mereka di bahagian ruangan enjin dalam jarak yang tidak berapa jauh di antara satu sama lain.

“Selepas itu, mereka masing-masing dikeluarkan dari kapal pada jam 2 dan 4 petang untuk dibawa ke jeti nelayan Pantai Leka,” katanya pada  sidang media di lokasi Pos Kawalan SAR Pantai Leka di sini.

Dalam kejadian 7.50 pagi Rabu itu, 14 kru kapal korek tersebut dilaporkan terperangkap manakala empat dapat dikeluarkan oleh pasukan SAR dengan seorang daripadanya meninggal dunia. Kesemua yang dikeluarkan pada hari kejadian merupakan warga China.

Sanifah berkata penemuan dua mangsa terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang sudah dijumpai  setakat ini  enam orang termasuk empat yang dikeluarkan pada hari pertama.

“Kini operasi tertumpu kepada baki 12 lagi mangsa yang masih terperangkap.

Kita percaya  mereka masih boleh diselamatkan kerana ruangan kapal itu tidak dipenuhi air sepenuhnya, menjadikan mereka mempunyai udara untuk bertahan dan bernafas,” katanya.

Beliau juga berkata sehingga kini pasukan penyelamat masih mendengar bunyi ketukan dari dalam kapal korek pasir berkenaan dipercayai isyarat daripada anak kapal lain yang terperangkap.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Muar Dr Noorhida Ujang berkata pihaknya telah menyediakan kelengkapan yang secukupnya untuk merawat mangsa yang selamat.

“Untuk mereka selamat, potensinya ada kerana setiap pelaut diajar cara untuk bertahan, jadi apa-apa berlaku mereka sudah terlatih.

“Mungkin ada bekalan air dalam kapal mereka minum sikit-sikit untuk tenaga. Itu selalunya survival di laut,” katanya. — Bernama

Advertisement