Anda di sini

‘Keldai dadah’ dipenjara 12 tahun

Advertisement
 Norshafilah diiringi oleh dua anggota polis melangkah keluar dari Mahkamah Tinggi Tawau.
KELDAI DADAH: Norshafilah diiringi oleh dua anggota polis melangkah keluar dari Mahkamah Tinggi Tawau.

TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara terhadap seorang ‘keldai dadah’ kerana memiliki syabu seberat 1,335.4 gram.

Tertuduh, Norshafilah Pawawoi, 21, mengaku bersalah mengikut pertuduhan pilihan, Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Hakim Azhahari Kamal Ramli.

Mengikut peruntukan seksyen itu, tertuduh boleh dipenjarakan seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, wanita tempatan terbabit didakwa melakukan kesalahannya pada 26 Julai 2016 kira-kira jam 11.15 pagi di Balai Polis Lapangan Terbang Tawau.

Peguam, Abdul Gani Zelika yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa wanita itu sudah insaf selepas 19 bulan berada dalam tahanan polis semenjak ditangkap.

Gani juga memberitahu mahkamah anak guamnya adalah pesalah muda berusia 19 tahun ketika melakukan kesalahan terbabit dan tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Sebelum ditahan polis, tertuduh bekerja di salun rambut serta turut menjalankan perniagaan atas talian (sampingan) melibatkan produk kecantikan dan aksesori telefon.

“Tertuduh juga memberikan kerjasama penuh kepada polis semasa proses siasatan dijalankan dan mendedahkan semua maklumat berkaitan dengan kes itu,” katanya.

Malah, beliau berkata hasil maklumat itu juga, membawa kepada kejayaan polis menahan dua suspek mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Menurutnya, fakta kes menunjukkan beg hitam yang ditahan polis sememangnya berada dalam jagaan tertuduh, namun wanita itu tidak mengetahui isi kandungan di dalamnya.

“Tertuduh hanya berniat menjaga amanah kawannya untuk menolong menghantar beg itu pulang ke Tawau dan menyerahkan kepada keluarga kawannya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnizam Muhamad Ederes meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran untuk orang ramai dan berdasarkan jumlah dadah yang dirampas.

Terdahulu, tertuduh ditahan semasa membawa beg bagasi hitam berisi enam tin tertera tulisan ‘36 PERCENT’ mengandungi satu bungkusan plastik biru bersalut kertas putih dan tin pendua di dalamnya.

Siasatan terhadap tertuduh sebelum ini dibuka menerusi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Advertisement