Anda di sini

Dua ‘bapa ayam’ dipenjara 14 tahun dan dihukum sebat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang siswazah perubatan sebuah universiti di Mesir dan seorang pekerja hotel masing-masing dipenjara 14 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menjadi orang tengah dalam kegiatan persundalan dan hidup daripada hasil persundalan menggunakan aplikasi WeChat sebagai medium untuk berurus niaga.

Hakim Datin M.Kunasundary turut mengenakan hukuman sebat masing-masing dua dan empat sebatan terhadap tertuduh, Khairul Azzuar Yusoff, 30, dan Mohyuddin Ahmad Fajaruddin, 24, selepas mendapati mereka bersalah atas kesemua pertuduhan.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Khairul Azzuar, yang menghadapi dua pertuduhan dan Mohyuddin Ahmad, empat pertuduhan, pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tujuh tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap Khairul Azzuar dan memerintahkan hukuman itu berjalan secara berasingan dari tarikh tangkap pada 7 Feb 2017.

Mengikut pertuduhan, Khairul Azzuar didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi persundalan ke atas seorang wanita warga Indonesia berusia 20-an di sebuah hotel di Jalan Imbi, di sini antara 2 petang hingga 11.30 malam, Januari 2017 mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Khairul Azzuar turut didakwa hidup hasil daripada hasil persundalan mangsa sama di tempat, tarikh dan waktu sama mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.

Manakala Mohyuddin, menghadapi dua pertuduhan iaitu  bertindak sebagai orang tengah bagi persundalan ke atas seorang lagi wanita, juga warga Indonesia berusia 20-an dan dua pertuduhan hidup  daripada hasil daripada persundalan dengan mangsa tersebut.

Keempat-empat perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Changkat Thambi Dollah dan sebuah hotel di Jalan Imbi, di sini antara 1 tengah hari dan 11 malam, antara Oktober 2016 dan Disember 2016.

Bagi dua pertuduhan pertama ke atas Mohyuddin iaitu menjadi orang tengah dalam aktiviti persundalan  dan hidup daripada hasil persundalan, mahkamah menjatuhkan hukuman masing-masing penjara tujuh tahun dan sekali sebatan, berkuat kuasa secara berasingan bermula dari tarikh tangkap iaitu 7 Februari 2017.

Bagi dua pertuduhan seterusnya iaitu dua pertuduhan serupa, mahkamah menjatuhkan hukuman sama namun berjalan  serentak dengan hukuman dua pertuduhan pertama.

Mahkamah menjatuhkan kesemua hukuman itu selepas mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan.

Ketika rayuan, peguam Suzanawaty Ismail yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan mereka bukanlah penjaga rumah pelacuran yang memaksa atau mengurung mangsa sebaliknya mangsa secara sukarela mencari tertuduh dan menawarkan diri untuk melakukan aktiviti persundalan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria berhujah pihak pendakwaan tidak menafikan faktor tiada paksaan mangsa dalam kes itu namun tertuduh telah membuka peluang kepada mangsa dan masyarakat untuk membuat pilihan yang salah dan melibatkan diri dalam aktiviti persundalan.

“Penularan seks dalam media sosial juga bertentangan dengan moral, adab dan agama di negara ini. Mahkamah perlu memberi mesej pada masyarakat bahawa kesalahan ini perlu dicegah dari awal melalui hukuman pemenjaraan yang tinggi,” katanya. — Bernama

Advertisement