Anda di sini

Calon UPP diterima dengan syarat di bawah tiket SUPP

Advertisement
 Abang Johari (tengah) menyaksikan Dr Sim (duduk kiri) dan Wong menandatangani MoU semalam.
TERMETERAI: Abang Johari (tengah) menyaksikan Dr Sim (duduk kiri) dan Wong menandatangani MoU semalam.

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Negeri menerima calon daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi dengan syarat bukan calon langsung.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, PRU kali ini tidak menggunakan konsep calon langsung dan UPP perlu bertanding di bawah parti komponen BN, iaitu SUPP.

“Sudah pasti mereka (UPP) ada calon namun bukan atas tiket UPP atau calon langsung tetapi mesti di bawah parti komponen BN dan dalam kes ini adalah SUPP.

“Calon bukan kriteria, tetapi paling penting mereka dapat bersatu dan bersama dalam semua aspek untuk kita membangunkan Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Negeri serta menyaksikan MoU antara SUPP yang diwakili Presidennya Datuk Dr Sim Kui Hian dan Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh di Ibu Pejabat PBB di sini, semalam.

Abang Johari berkata, bagi senarai calon dikemukakan, ia terpulang kepada kedua-duanya untuk menentukan kerana mereka bakal membentuk satu jawatankuasa menerusi MoU yang ditandatangani.

Berhubung MoU yang ditandatangani, Ketua Menteri berkata, SUPP dan UPP telah mencapai persefahaman dan bersetuju untuk menerokai dan mengambil langkah ke arah menyatukan kedua-dua parti untuk menjadi satu entiti politik yang lebih besar demi kepentingan masyarakat Cina dan komuniti lain di bawah semangat BN.

“Dengan kerjasama kedua-dua parti akan membantu membangunkan negeri khasnya mendapatkan balik hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Mereka mengetepikan segala perbezaan yang ada dengan bersama-sama dalam satu rentak terutama demi kepentingan komuniti Cina dan komuniti lain,” katanya.

Abang Johari berkata, beliau juga telah memaklumkan mengenai MoU berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertemuan mereka pagi semalam.

“Saya berharap rangka kerja persefahaman ini akan mengurangkan perkara mengaitkan politik tetapi usaha kita ke arah membangunkan  ekonomi digital,” tegasnya.

Antara lain MoU berkenaan mengandungi sebuah jawatankuasa perundingan akan ditubuhkan terdiri daripada presiden dan setiausaha agung parti masing-masing. 

Mandat jawatankuasa ini adalah untuk mencari jalan menyatukan kedua-dua parti selain memelihara komunikasi yang konsisten untuk membina kepercayaan dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain, selain mengelak sebarang salah faham.

Kedua-dua parti memahami dan bersetuju bahawa terdapat banyak perkara dan subjek yang perlu dipertimbangkan dengan keizinan, sikap hormat dan keyakinan oleh satu sama lain kepada jawatankuasa perundingan sebelum usaha sedemikian dapat dilaksanakan. 

Kedua-dua parti akan bekerjasama dengan satu sama lain untuk memastikan kemenangan bagi semua calon BN Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement