Anda di sini

Fahami e-hailing dan TITP - Nancy

Advertisement
Nancy ditemani Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah menyampaikan sijil kepada peserta bengkel.
Nancy ditemani Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah menyampaikan sijil kepada peserta bengkel.

KUCHING: Tidak faham tentang sistem e-hailing dan inisiatif yang disediakan di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) menjadi punca salah sangka pemain industri teksi konvensional terhadap kerajaan.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Bengkel TITP Sarawak dan Pelancaran Buku Log Pemandu Bas BIMP-EAGA peringkat negeri di sebuah hotel di sini hari ini.

"Sebagai contoh ada di kalangan pemandu teksi konvensional menjalankan Grab tetapi dia masih bertanya lagi apa itu e-hailing.

"Ini bermakna mereka tidak memahami apa yang sedang kerajaan lakukan untuk membantu mereka, kita sentiasa memberi penerangan kepada mereka, kita faham ini adalah fasa cabaran untuk pemandu teksi dan mereka perlu mendapatkan penerangan jelas tentang perkara ini," katanya.

Malah, Nancy memberitahu inisiatif di bawah TITP yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyediakan pelbagai jenis bantuan untuk pemandu teksi konvensional.

"Mereka bertanyakan geran untuk mereka menukar teksi baharu sedangkan perkara tersebut telah diluluskan sebelum ini yang menyediakan RM5,000 untuk mereka.

"Sebab itu, kita menganjurkan bengkel ini untuk memberi peluang kepada mereka menyuarakan pandangan dan masalah mereka dalam masa sama menerangkan apa yang kerajaan laksanakan untuk mereka," ujarnya.

Justeru, Nancy menyarankan agar pemandu teksi di negeri ini tampil ke pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKL) Sarawak untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung perkara tersebut.

  • oleh
  • Advertisement