Anda di sini

(VIDEO) Tauke rokok seludup gagal sogok polis

Advertisement
Sanudin (tengah) bersama dua orang pegawai menunjukkan barangan kes di Batalion 10 PGA.
Sanudin (tengah) bersama dua orang pegawai menunjukkan barangan kes di Batalion 10 PGA.

SIBU: Cubaan tauke rokok seludup menyogok ketua serbuan gagal apabila dia diberkas penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rsuah Malaysia (SPRM) dalam operasi di sebuah rumah di Jalan Sie Poi Kieng di sini malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA, Superitenden Sanudin Md Isa berkata lelaki terbabit berumur 30-an itu cuba memberikan wang tunai RM3,000 kepada ketua serbuan sebagai imbuhan bagi menyelesaikan perkara tersebut.

"Lelaki terbabit yang juga pemilik premis itu, bagaimanapun diberkas oleh pegawai SPRM yang turut serta dalam operasi berkenaan ketika proses penyerahan wang," katanya.  

Menurutnya, operasi bersepadu yang diketuai oleh ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff bersama 15 orang pegawai serta anggota dari Batalion 10, Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak dan Cawangan Risikan Batalion 11 dan tiga orang pegawai SPRM membuat pemeriksaan di premis tersebut dan merampas 76 kotak (3,800 katon) rokok.

"Pemilik premis terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen pemilikan rokok menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

"Anggaran nilai rampasan bernilai RM90,000 dan barangan kes akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Cawangan Sibu dan suspek ditahan oleh Pihak SPRM untuk tindakan lanjut," jelas Sanudin.

Sementara itu, seorang lagi lelaki berumur 20-an juga ditahan dalam satu operasi berasingan kerana dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan bir di sebuah stor di Jalan Wong King Huo petang semalam.

Dalam operasi yang diketuai oleh Inspektor Mohd Hafizhazman Hassan pada jam 8 malam itu, sebanyak 2,850 kotak bir pelbagai jenis dengan anggaran nilai keseluruhan RM250,000 dirampas.

Semasa pemeriksaan, terdapat dua buah stor terletak di bahagian belakang premis itu di mana salah satu pintu stor tidak berkunci. 

Sanudin berkata, pasukan serbuan telah bertindak mengumpil pintu stor menggunakan pemotong besi untuk masuk ke dalam stor tersebut dan mendapat pelbagai jenis bir dan jenama.

"Kesemua barangan kes telah dirampas dan seterusnya diserah kepada Kastam Sibu," katanya.

Katanya, laporan kedua-dua kes telah dibuat di Balai CPS Sibu.

Beliau menambah kehadiran SPRM dalam kedua-operasi membolehkan operasi serbuan dilakukan secara lebih telus malah membolehkan pegawai SPRM mengambil tindakan terus apabila berlakunya sogokan.

  • oleh
  • Advertisement