Anda di sini

Perolehan sektor koperasi negara lebih RM40 billion

Advertisement
 Najib menyampaikan replika cek Anugerah Koperasi Berpontensi 2018 kepada Koperasi Profesional Putrajaya Berhad pada majlis Perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam. — Gambar Bernama
BERPOTENSI: Najib menyampaikan replika cek Anugerah Koperasi Berpontensi 2018 kepada Koperasi Profesional Putrajaya Berhad pada majlis Perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Sektor koperasi negara berjaya mencatat perolehan melebihi RM40 bilion setakat tahun ini dan dijangka mencapai sasaran sebanyak RM50 bilion dalam masa tersekat selaras dengan matlamat Dasar Koperasi Negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sasaran itu dijangka dapat  membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi pelbagai aktiviti ekonomi dilaksanakan koperasi.

Untuk rekod, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan sumbangan perolehan sektor koperasi di seluruh negara sebanyak RM50 bilion menjelang 2020 yang selari Dasar Koperasi Negara 2011-2020.

Kita ingin melihat kejayaan koperasi negara yang benar-benar berdaya saing, dinamik dan faham akan agenda keseluruhan penubuhannya iaitu membangunkan negara.

Saya sebagai Menteri KPDNKK bukan sahaja yakin tetapi percaya dengan bantuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sekiranya berjaya dalam pilihan raya umum tidak lama lagi, koperasi yang ada di negara ini akan menjadi sebuah badan utama di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2018 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di sini, kelmarin.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Pada majlis tersebut, Pengarah KOSAS (Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor) Bhd, Datuk Md Aini Taib dinobatkan sebagai Tokoh Koperasi Negara 2018 dan menerima wang tunai RM30,000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Najib.

Anugerah Koperasi Berpotensi 2018 dan Anugerah Koperasi Terbaik 2018 pula masing-masing diterima oleh Koperasi Profesional Putrajaya Berhad dan Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Berhad.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memperkasakan serta menambah baik sektor koperasi saban tahun termasuk menyediakan peruntukan  melebihi RM100 juta setiap tahun.

Malah, kerajaan juga dalam usaha menambah baik akta koperasi sedia ada bagi menjadikan imej koperasi sebagai sebuah badan profesional yang mampu bersaing dengan badan korporat lain.

Sementara itu, Md Aini berkata kejayaan sesebuah koperasi berteraskan sokongan antara ahli lembaga pengarah, kepercayaan ahli serta kejujuran pengurusan dan pentadbiran.

Ketika berkongsi pengalamannya, beliau yang juga Pengarah Koperasi Tanjung Karang Berhad sejak 1991 berkata tanggungjawab pengurusan koperasi melibatkan kewangan sumbangan ahli yang perlu diurus sebaik mungkin.

Saya merupakan  pengasas KOSAS Berhad pada 1973 yang secara rasmi ditubuhkan pada Disember 1975 dan hanya bermula dengan modal sebanyak RM240 disumbangkan 20 ahli lembaga pengarah ketika itu.

Alhamdulillah kini KOSAS memiliki aset bernilai RM200 juta dengan seramai 5,000 ahli,” katanya yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor.

KOSAS juga mampu menjana pendapatan melalui pelbagai aktiviti pelaburan dan ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk perladangan kelapa sawit dan nanas, hartanah dan pelancongan.— Bernama

Advertisement