Anda di sini

Bas terhumban dari tebing, 19 maut

Advertisement
 Gambar serahan pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah semalam menunjukkan keadaan di tempat kejadian di bandar Sablayan, wilayah selatan Occidental Mindoro dekat Manila. — Gambar AFP
MENGERIKAN: Gambar serahan pihak berkuasa pengurusan bencana wilayah semalam menunjukkan keadaan di tempat kejadian di bandar Sablayan, wilayah selatan Occidental Mindoro dekat Manila. — Gambar AFP

MANILA: Seramai 19 orang terkorban dan 21 lagi tercedera apabila sebuah bas penumpang terbabas lalu terhumban dari tebing di tengah Filipina, menurut pihak polis semalam.

Bas tersebut yang menuju ke bandar utama Manila, terbabas dari jalan raya gunung di pulau Mindoro lewat kelmarin, menurut jurucakap polis wilayah Imelda Tolentino.

Petugas penyelamat mengeluarkan mangsa yang terbunuh dan tercedera dari kenderaan itu yang terhempas di dalam jurang, tambah beliau.

Pihak polis sedang menyiasat kenapa pemandu itu hilang kawalan, sama ada terdapat masalah mekanikal atau dia tertidur,” jelas Tolentino.

Gambar polis menunjukkan anggota penyelamat menuruni tebing untuk sampai ke bas tersebut yang terbalik di celah pokok dan rumput kira-kira 15 meter di bawah jalan raya.

Kemalangan berlaku berhampiran pekan Sablayan, kira-kira 195 kilometer di selatan Manila.

Pada 2010, 41 terbunuh termasuk lima rakyat asing, setelah sebuah bas yang penuh dengan penumpang terhumban ke dalam gaung yang dalam di utara Filipina.

Seramai 31 lagi terkorban dalam nahas bas di bahagian utara pada April tahun lepas.

Pengurus pengangkutan awam menyatakan semalam mereka mungkin menamatkan francais pemilik bas yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini. — AFP

Advertisement