Anda di sini

MTDC, UNIPEQ meterai MoU bagi kerjasama perniagaan halal

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) dan UNIPEQ Sdn Bhd semalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memberi laluan kepada kerjasama rasmi dalam ekosistem perniagaan halal.

MoU berkenaan akan menyaksikan UNIPEQ secara rasmi berkongsi maklumat, pengetahuan dan pengalaman  dalam perniagaan halal yang berkait dengan penerima Dana Pembangunan Teknologi Halal (HTDF) MTDC.

UNIPEQ, anak syarikat milik penuh UKM Holdings Sdn Bhd, cabang komersial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga dijangka membantu dalam mengenal pasti syarikat berpotensi dan layak untuk memohon dana tersebut.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk  Norhalim Yunus dan anggota lembaga pengarah UNIPEQ Prof Datuk Ir  Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat.

Pemeteraian MoU itu disaksikan Pengerusi MTDC Datuk Latt Shariman Abdullah dan Timbalan Naib Canselor UKM Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Pada majlis yang sama, dua syarikat penerima HTDF yang baru diluluskan, Suci Harumatiques Sdn Bhd danChocofac (Malaysia) Sdn Bhd, diperkenalkan dan diserahkan kad yang menandakan penyertaan mereka dalam ekosistem halal.

Suci Harumatiques dan Chocofac masing-masing menerima pembiayaan RM1.3 juta dan RM2.8 juta melalui HTDF MTDC di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), untuk memperluaskan barisan produk.

Di bawah RMK11, kerajaan memperkenalkan skim pembiayaan HTDF yang direka untuk memupuk dan membiayai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk pertumbuhan jangka panjang dan didorong oleh eksport melalui aktiviti halal, dengan peruntukan sebanyak RM100 juta yang disalurkan menerusi MTDC.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Latt Shariman menggesa syarikat-syarikat agar menggunakan perkhidmatan UNIPEQ yang merupakan antara makmal panel halal yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Saya menggalakkan syarikat-syarikat untuk bekerjasama dengan UNIPEQ dalam pembangunan produk dan pensijilan halal supaya produk dan perkhidmatan diterima dengan baik di pasaran pematuhan halal yang mencabar di dalam dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Norhalim berkata MTDC telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM21 juta di bawah skim HTDF kepada sembilan syarikat sejak 2016.

Norhalim berkata antara sembilan syarikat itu, MTDC telah mengenal pasti dua syarikat penerima HTDF yang berpotensi untuk disenaraikan di pasaran Leading Entrepreneur Accelerator Platform atau Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia.

Beliau berkata, selain produk makanan, MTDC juga boleh mempertimbangkan syarikat-syarikat dalam industri lain sebagai penerima HTDF, yang menggabungkan elemen geran, pinjaman dan ekuiti, menawarkan pembiayaan fleksibel syarikat melalui Nota Janji Boleh Ubah (CPN) dan / atau saham keutamaan. — Bernama

Advertisement