Anda di sini

Satu blok kayu SK Nunuk Ragang musnah dalam kebakaran

Advertisement
Keadaan SK Nunuk Ragang semasa kebakaran kira-kira jam 4 petang tadi.
Keadaan SK Nunuk Ragang semasa kebakaran kira-kira jam 4 petang tadi.
 

RANAU: Sebuah blok bangunan kayu Sekolah Kebangsaan (SK) Nunuk Ragang di sini musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4.10 petang, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.13 petang dan bergegas bersama sembilan anggota ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan blok kayu bangunan satu tingkat yang menempatkan sebuah bilik belajar tahun satu serta pejabat pentadbiran sekolah, bilik guru besar, penolong kanan, bilik guru dan bilik mesyuarat.

“Kebakaran yang sudah bermula dalam tempoh masa lama tidak dapat menyelamatkan bangunan terbabit dan pihak bomba bagaimanapun melakukan usaha pemadaman bagi mengelakkan api merebak lebih luas,” katanya.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal setengah jam kemudian dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini.

Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan pasukan forensik.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata kejadian itu menjadikan empat sekolah terjejas kebakaran tahun ini.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan penambahbaikan di beberapa bangunan sekolah berkenaan.

“Bagi SK Sentosa Tawau bangunan lama terbabit kini sudah berpindah ke bangunan lama Kabota dan tidak memerlukan penyelenggaraan buat masa ini.

“Untuk rumah guru di SK Gusi Ulu Sugut Ranau bangunan terbabit sedang dibaik pulih dan guru yang terjejas kini sedang menumpang di rumah rakan guru lain.

“Kita juga sedang menjalankan penyelenggaraan segera di asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin dan pelajar terjejas ditempatkan di bangunan penempatan sementara,” katanya.

Pada 23 Februari, dua blok bangunan kayu SK Sentosa Tawau musnah dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengah hari dan memusnahkan beberap bilik belajar tahun satu hingga tiga serta bilik guru, pejabat, pusat sumber, dewan mini, bilik agama islam dan skim pinjaman buku teks (SPBT).

Kira-kira dua minggu kemudian, kebakaran memusnahkan satu blok asrama SMK Datuk Peter Majuntin semasa perhimpunan jam 7.30 pagi berlangsung dan bangunan rumah guru SK Gusi yang terletak 97 kilometer dari pekan Ranau turut dilaporkan musnah dalam kebakaran dua hari kemudian.
 

  • oleh
  • Advertisement