Anda di sini

Piala Presiden: UiTM FC jinakkan Sarawak B

Advertisement
 Pemain UiTM FC melepasi kawalan pertahanan Sarawak pada saingan Kumpulan B kempen Piala Presiden 2018 di Kuching semalam.
LEPASI KAWALAN: Pemain UiTM FC melepasi kawalan pertahanan Sarawak pada saingan Kumpulan B kempen Piala Presiden 2018 di Kuching semalam.

KUCHING: Hasrat Sarawak B mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian apabila tewas tipis 1-0 ketika menentang UiTM FC pada saingan Kumpulan B kempen Piala Presiden 2018 di Stadium Sarawak di sini petang semalam.

 Tampil garang pada awal babak pertama, skuad tuan rumah melancarkan serangan bertubi-tubi untuk memburu jaringan awal.

 Bagaimanapun, kesilapan pertahanan Sarawak mengundang padah apabila pelawat membuka tirai jaringan menerusi Mohd Zulfitri Zakaria pada minit ke-39 selepas menerima hantaran sepakan sudut daripada rakannya.

 Tersentak dengan jaringan itu, Sarawak kembali mengatur strategi untuk memburu gol penyamaan namun terus buntu.

 Meskipun Sarawak dilihat lebih banyak menguasai perlawanan tetapi deretan peluang yang dicipta gagal diterjemahkan kepada jaringan.

 Selepas terikat 1-1 ketika menentang PKNS pada perlawanan sebelum ini, Sarawak bertekad memburu tiga mata penting untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta.

 Namun, kem Sarawak kendalian Abdol Wahet Uji dirundung malang apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

 Sarawak kini mengumpul tujuh mata hasil daripada dua kemenangan dan sekali seri selepas mengharungi lima perlawanan.

 Pasukan muda Ngap Sayot itu dijadualkan melayan kunjungan Felda United pada 15 Mac ini di Stadium Sarawak bagi meneruskan kempen Piala Presiden 2018.

Advertisement