Anda di sini

Persatuan Jepun-Malaysia komited memelihara hutan Sarawak

Advertisement
 Sakai dan Arai (kiri) menunjukkan buah engkabang daripada projek penanaman semula hutan di Balai Ringin.
GEMBIRA: Sakai dan Arai (kiri) menunjukkan buah engkabang daripada projek penanaman semula hutan di Balai Ringin.

SAYA sangat gembira, terlalu gembira,” ujar Penyelaras Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) Sarawak Kazue Sakai apabila melihat pokok engkabang ditanam di Hutan Kawalan Balai Ringin berbuah.

Kawasan seluas enam hektar berdekatan Kampung Sungai Paoh dekat Balai Ringin kini mempunyai kira-kira 1,000 pokok engkabang yang sudah mampu berbuah.

Sakai bersama Pengarah Eksekutif JMA Takuji Arai yang berkunjung ke situ baru-baru ini begitu teruja apabila tanaman mereka membesar sejak mula ditanam pada 1995.

Engkabang atau nama saintifiknya ‘shorea macrophylla’ dipilih untuk ditanam kerana ia merupakan spesies pokok tempatan, jelas Sakai.

Malah ia mudah untuk mencapai tahap matang meskipun kurang dijaga.

Pokok yang mudah dijumpai di kawasan tebing sungai itu berbuah sekali dalam tempoh empat atau lima tahun.

Buah engkabang menghasilkan minyak dan menyerupai mentega apabila sejuk. Minyak yang sudah beku boleh digaul dengan nasi dan aromanya membangkitkan selera.

Penanaman pokok engkabang di Balai Ringin merupakan antara projek penanaman semula hutan dilakukan sejak 1995 dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak dan penduduk setempat.

Sejak 2010, JMA melakukan penyelidikan dan aktiviti pendidikan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di kawasan projek.

Dua projek JMA iaitu Gunung Apeng dan Hutan Sabal telah dinaik taraf kepada Taman Negara berbanding Rizab Hutan sebelumnya.

Dalam kawasan Serian, projek Gunung Apeng bermula 2005, Sabal sejak 2013; di Lundu membabitkan Rizab Hutan Sampadi sejak 2010; Rizab Hutan Bakam di Miri sejak 2011.

Semua kawasan ini ditanam dengan 500,000 benih atas keluasan 1,400 hektar,” ujar Sakai.

Jelas beliau lagi projek ini disokong oleh syarikat-syarikat Jepun seperti Mitsubishi, Kinoshita, Dunlop dan JAC, selain yayasan serta individu.

Projek JMA ini juga membabitkan program pembangunan masyarakat seperti inap desa dan menyemai benih pokok oleh kaum ibu di kampung yang merupakan usaha memperbaiki taraf hidup mereka,” ujarnya.

JMA baru-baru ini menanam 500 pokok bakau di Taman Negara Tanah Bencah Kuching di atas keluasan 0.25 hektar.

Arai berharap program itu dapat membantu kerajaan Sarawak memulihara kawasan hutan bakau. 

Dengan menyertai program ini kami berharap dapat mewujudkan dan seterusnya menggalakkan pertukaran budaya antara Sarawak dan Jepun tentang bagaimana cara untuk melindungi hutan,” jelasnya.

Arai menjelaskan JMA akan meneruskan program penanaman pokok yang menyasarkan lebih 10,000 pokok bakau dalam tempoh tiga tahun lagi.

Kami amat menghargai kerjasama Jabatan Hutan Sarawak, UNIMAS dan penduduk setempat dalam pelaksanaan projek penanaman semula hutan.

Semoga usaha dan kerjasama ini berterusan dan dijadikan landasan untuk bertukar-tukar pengalaman antara Sarawak dan Jepun,” ujarnya.

 Sakai dan Arai (kanan) bersama anak pokok yang tumbuh daripada generasi pertama pokok engkabang.
BENIH: Sakai dan Arai (kanan) bersama anak pokok yang tumbuh daripada generasi pertama pokok engkabang.
  • oleh
  • Advertisement