Anda di sini

JobMatching beri manfaat kepada 3,000 peminjam PTPTN

Advertisement

Inisiatif kepada peminjam yang tidak pernah bayar balik pinjaman

LENGGONG: Peluang pekerjaan yang disediakan dalam portal JobMatching akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekali gus meningkatkan bayaran balik pinjaman.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata lebih 5,000 peluang pekerjaan yang disediakan dalam portal itu merupakan satu inisiatif pihaknya kepada peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman sejak tamat belajar.

Kita harap peminjam dapat manfaat daripada program ini dengan memperoleh pekerjaan dan ini akan dapat meningkatkan bayaran balik peminjam kepada PTPTN.          

Ini juga akan mengubah persepsi masyarakat terhadap PTPTN yang bukan sahaja mengejar peminjam supaya membayar balik pinjaman mereka, malahan membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang diminati mengikut kesesuaian kemahiran yang dimiliki mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program ‘Chit Chat Youth Business 2018’ di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Lenggong di sini semalam.

Shamsul Anuar berkata apa yang peminjam perlu lakukan ialah melayari portal http://www.jobmatchingptptn.my/ dan membuat pemadanan berdasarkan kelulusan serta bidang pekerjaan yang diminati.

Sekiranya mempunyai padanan, temu duga akan diaturkan bagi membolehkan pemohon layak mendapat pekerjaan tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata pemohon juga boleh mendapatkan kursus kemahiran tambahan disediakan PTPTN bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Katanya, PTPTN menyediakan geran kira-kira RM20 juta kepada 10,000 pemohon terawal yang ingin mendapatkan kursus kemahiran tambahan dengan kos di bawah RM2,000.

Sebagai rekod, PTPTN berjaya mendapatkan bayaran balik pinjaman 81 peratus daripada 2.8 juta peminjam sehingga 31 Januari lepas.

Portal JobMatching kendalian PTPTN dengan kerjasama syarikat swasta, Prestariang Systems Sdn Bhd dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lepas. — Bernama

Advertisement