Anda di sini

Bekas pengurus besar kekal bebas tuduhan rasuah

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan keputusan melepaskan dan membebaskan bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) Datuk Wasli Mohd Said, daripada pertuduhan rasuah berjumlah RM1 juta pada 2006.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Yaacob Md Sam, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan.

Kami dapati tiada merit dalam rayuan itu. Tiada kekhilafan boleh dirayu yang mewajarkan intervensi kami,” kata Mohtarudin yang mempengerusikan panel.

Beliau berkata perintah Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Wasli dikekalkan.

Pada 7 Jun 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Wasli daripada dua pertuduhan rasuah membabitkan RM1 juta tanpa memanggilnya  untuk membela diri.

Wasli, 69, yang juga bekas Pengarah Urusan Sawit Kinabalu Berhad, dituduh menawarkan sogokan RM500,000 kepada Pengarah SLDB John Liaw Chee Shing sebagai dorongan untuk menyokong kelulusan pembelian saham SLDB  dalam Sapi Plantations Sdn Bhd oleh syarikat miliknya Syarikat Briskmark Enterprise Sdn Bhd pada mesyuarat lembaga.

Wasli, dari Sabah, didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel Fairlane, Jalan Walter Grenier di sini antara 10.20 pagi dan 10.30 pagi 22 Oktober 1996.

Dia juga dituduh menawarkan sogokan RM500,000 kepada Pengarah SLDB Michael Emban sebagai dorongan untuk bersetuju dalam mesyuarat lembaga terhadap cadangan penjualan saham SLDB dalam Sapi Plantations to Briskmark Enterprise.

Wasli didakwa melakukan kesalahan itu di hotel sama antara jam 9.40 pagi dan 10.20 pagi pada tarikh sama.

Dia didakwa pada 10 Februari 2006 menurut Seksyen 3 Akta Pencegahan Rasuah 1961 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan. — Bernama

Advertisement