Anda di sini

400 penduduk terima kit fertigasi tanam cili padi

Advertisement
 Bung Moktar menyampaikan Kit Fertigasi Pertanian kepada salah seorang penerima di Dewan Sri Lamag.
PERCUMA: Bung Moktar menyampaikan Kit Fertigasi Pertanian kepada salah seorang penerima di Dewan Sri Lamag.

KINABATANGAN: Seramai 400 penduduk di Parlimen Kinabatangan menerima kit fertigasi permulaan daripada kerajaan bagi menanam cili padi sebagai usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar.   

Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Kit Fertigasi Pertanian yang disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui FELCRA Berhad memperlihatkan kerajaan prihatin terhadap keperluan rakyat luar bandar khususnya di Kinabatangan.

Ini bermatlamat memajukan kehidupan masyarakat luar bandar dan FELCRA sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sememangnya akan terus memberi perhatian kepada aspek pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata penyerahan kit pertanian bagi mengusahakan penanaman cili padi antara usaha meningkatkan ekonomi penduduk yang masih menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Harga pasaran cili padi walaupun berdasarkan kepada permintaan semasa namun ia mampu meningkat sehingga RM50 sekilogram sekiranya mendapat permintaan yang tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Quick Win KKLW serta Majlis Penyerahan Kit Fertigasi Kinabatangan di Dewan Sri Lamag, di sini pada Ahad.

Peserta yang diberikan kit pertanian itu diharap dapat mengusahakan tanaman mereka dengan komitmen yang tinggi agar dapat memberi pulangan khususnya dalam meningkatkan ekonomi masing-masing.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meminta pegawai pertanian Kinabatangan supaya memantau aktiviti para peserta terlibat agar bantuan yang diberikan kerajaan itu mencapai sasaran sebenar.

Sekiranya program ini berjaya, kita akan meminta kerajaan agar menyediakan peruntukan lagi untuk program seperti ini bagi memastikan penduduk luar bandar meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Terdahulu, Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Perserta FELCRA Berhad Mohd Fauzi Mohd Tahir berkata, kerajaan menyediakan sebanyak RM1 juta peruntukan untuk melaksanakan 15 program bagi menjana pendapatan penduduk luar bandar di seluruh negara.

Katanya, rakyat sewajarnya berterima kasih kepada kerajaan dan mengusahakan dengan sebaiknya bagi menjana pendapatan demi meningkatkan ekonomi keluarga.

Paling penting di sini ialah keinginan dan tindakan kita agar usaha kerajaan ini membuahkan hasil dan memberi pulangan kepada peserta.

Hari ini, kerajaan memberi secara percuma sebagai percubaan serta permulaan dan kepada yang berminat boleh meneruskan usaha ini kerana pada masa akan datang ia diyakini dapat memberi pulangan secara harian.

Sekiranya berminat, kerajaan akan memberi pinjaman RM20,000 untuk penanaman lada dan dalam tempoh lima bulan hasil boleh dituai sekaligus dapat menghasilkan pendapatan RM2,000 sebulan,” katanya.

Penyerahan Kit Fertigasi dengan menyalurkan 30 polibeg berkenaan membabitkan 400 penduduk iaitu dari Kampung Bilit (50), PPRT Pelangi (100), Pelangi Sejahtera (100), PPR Sukau (50), PPR Pangkalan (50), PPMS Sri Tanjung (54) dan peserta individu seramai 46 orang.

Selepas Kinabatangan, program sama akan diadakan di Tongod. Program ini mula-mula dibuat di Kampung Bilit iaitu kursus penternakan burung walit yang membabitkan 500 peserta.

Turut hadir, Pengerusi FELCRA Bina yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan Jafry Ariffin.

Advertisement