Anda di sini

17 wanita warga asing tawar khidmat seks ditahan

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 17 wanita warga asing di sebuah premis yang menawarkan perkhidmatan seks di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, semalam.  

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dalam kenyataannya hari ini berkata premis itu menggunakan papan tanda pusat urutan tradisional bagi mengaburi penguat kuasa, dengan kegiatan pelacuran dijalankan di tingkat tiga bangunan pusat snuker.

Beliau berkata premis itu pernah diserbu pihak penguat kuasa JIM beberapa kali pada tahun lepas dengan lebih 40 wanita ditahan dan dijatuhkan hukuman, namun kegiatan pelacuran masih lagi dijalankan di premis itu tanpa rasa takut terhadap pihak penguatkuasaan dan undang-undang.

Katanya wanita asing yang ditahan semalam terdiri daripada warga Vietnam, Indonesia, Laos dan Thailand, selain dua lelaki tempatan yang juga penyelia di premis tersebut serta pernah ditangkap semasa operasi sebelum ini. 

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut dijalankan tanpa lesen perniagaan yang sah dan dipercayai mengaut keuntungan hampir puluhan ribu ringgit sehari melalui kegiatan pelacuran.

"Majikan premis itu mempunyai hubungan baik dengan ejen di luar negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina, untuk membawa masuk wanita dari negara tersebut ke Malaysia bagi kegiatan tidak bermoral untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda,” katanya.

Mustafar berkata ketika serbuan itu, sebanyak lima notis untuk hadir memberi keterangan telah dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di premis tersebut bagi membantu siasatan. 

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan melanggar Akta Imigresen.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya, untuk siasatan dan tindakan susulan dan siasatan dijalankan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATISOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya. - BERNAMA

Advertisement