Anda di sini

Penemuan menyayat hati

Advertisement

Warga emas dilapor hilang sebelum ini, ditemui mati lemas.

 Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang dijumpai sekitar jam 9 pagi semalam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
LEMAS: Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang dijumpai sekitar jam 9 pagi semalam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

SIBU: Seorang lelaki warga emas, Reba Gawing, ditemui mati lemas setelah keluar mengangkat jaring seorang diri di Sungai Balleh pada Sabtu lalu.

 Mayat mangsa yang berusia 63 tahun itu ditemui orang awam pada jam 9 pagi semalam, kira-kira 50 meter dari tempat mangsa dipercayai hilang.

 Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada orang ramai.

 Pasukan SAR mengambil masa kira-kira dua jam dengan menggunakan bot penyelamat untuk sampai ke lokasi sebelum mayat mangsa ditemui pada jam 11 pagi.

 Mayat mangsa dibawa ke Jeti Kapit untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 Terdahulu, BBP Kapit kelmarin menerima laporan orang hilang sekitar jam 9.30 pagi.

 Berdasarkan maklumat anak mangsa, Nur Shafiqa Pelaga Reba, bapanya keluar seorang diri untuk mengangkat jaring di Sungai Balleh sekitar jam 6 petang Sabtu dan tidak pulang hingga laporan dibuat.

 BBP Kapit kemudian menggerakkan lima anggota yang diketuai Andrew Puing Satin, bersama sebuah pacuan empat roda dan bot untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat sebaik sahaja laporan diterima.

 Difahamkan, usaha pencarian juga dijalankan penduduk kampung pada hari sama namun hanya menjumpai perahu dan enjin sangkut mangsa di tepi sungai.

 Operasi SAR ditamatkan jam 1 petang semalam.

 Anggota bomba mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan polis untuk tindakan lanjut.
KORBAN SUNGAI: Anggota bomba mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan polis untuk tindakan lanjut.
  • oleh
  • Advertisement