Anda di sini

Siklon semakin hampir, Tonga umum darurat

Advertisement

Selepas menghuru-harakan Samoa, Gita membina kekuatan sebagai ribut kategori maksimum

 Gambar serahan Palang Merah Samoa semalam menunjukkan sebuah kereta meredah jalan yang ditenggelami air ketika para pekerja bantuan memeriksa sebuah rumah di kawasan Apia. — Gambar AFP
DIBADAI GITA: Gambar serahan Palang Merah Samoa semalam menunjukkan sebuah kereta meredah jalan yang ditenggelami air ketika para pekerja bantuan memeriksa sebuah rumah di kawasan Apia. — Gambar AFP

NUKU’ALOFA: Tonga mengumumkan perintah darurat semalam ketika satu siklon yang sangat kuat menghampiri negara pulau Pasifik tersebut selepas menghuru-harakan negara jiran Samoa.

Pemangku Perdana Menteri Semisi Sika mengeluarkan amaran di seluruh negara dan menyatakan beliau berpuas hati perintah darurat akan dilaksanakan.

Siklon Tropika Teruk Gita semakin kuat ketika menghampiri Tonga dan Perkhidmatan Meteorologi Fiji meramalkan ia akan menjadi ribut kategori maksimum lima sebelum sampai ke Tonga malam semalam.

Ia membawa tiupan angin sekuat 220 kilometer sejam ketika mengumpul kekuatan kira-kira 370 kilometer di timur pulau paling ramai penduduk Tongatapu.

Pusat Ramalan Cuaca Fua’amotu di Tonga memberi amaran kepada penduduk agar menjangkakan angin dengan kekuatan hurikan yang sangat kuat.

Gita membadai Samoa semalaman Jumaat lepas, memaksa pemindahan kira-kira 200 orang dan menyebabkan banjir besar, mengakibatkan ramai terputus bekalan elektrik dan air.

Kementerian maklumat di Tonga menyatakan pusat pemindahan sementara disediakan di seluruh negara dan menasihatkan penduduk mengelak melakukan perjalanan yang tidak perlu.

Setiap keluarga seharusnya memiliki satu kit kecemasan di rumah mereka.

Semua orang seharusnya berjaga-jaga dengan apa yang mungkin menyebabkan kerosakan seperti pokok besar yang berpotensi tumbang dan menimpa rumah,” menurutnya.

Siklon biasa berlaku di Pasifik pada masa ini setiap tahun, dengan sistem kategori lima paling tinggi dalam skala membuktikan kemusnahan besar ketika ia melanda.

Siklon Winston mengorbankan 44 orang di Fiji pada 2016, manakala Siklon Pam meragut 11 nyawa dan memusnahkan 65,000 rumah di Vanuatu pada 2015. – AFP

Advertisement