Anda di sini

Sekolah, klinik dibaiki

Advertisement

RM10.5 juta untuk baiki 173 sekolah, RM250,000 baiki dua klinik rosak akibat banjir.

 Abang Johari melawat salah sebuah ruang khas keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
JENGUK: Abang Johari melawat salah sebuah ruang khas keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

BINTULU: Sebanyak 173 sekolah dan dua klinik kesihatan terjejas teruk banjir diberi bantuan dalam pelbagai aspek termasuk pembaikan prasarana serta infrastruktur yang rosak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata peruntukan sejumlah RM10.5 juta diluluskan kerajaan negeri bagi menjalankan kerja-kerja memperbaiki struktur sekolah yang rosak bagi keselesaan pelajar.

Kerajaan turut meluluskan peruntukan RM250,000 bagi memperbaiki dua klinik kesihatan di daerah Tatau iaitu Klinik Kesihatan Nanga Tau dan Klinik Kesihatan Nanga Sangan yang rosak teruk akibat banjir,” katanya pada sidang media sejurus melawat mangsa banjir di sini semalam.

Sejak seminggu lalu, seramai 489 mangsa daripada 113 keluarga mangsa banjir daerah Tatau ditempatkan di pusat pemindahan sementara kerana kediaman mereka dinaiki air ekoran banjir besar.

Jelasnya, kejadian banjir terburuk di negeri ini selepas banjir besar melanda sejak 55 tahun lalu menunjukkan ia bencana yang agak luar biasa.

Katanya, pengurusan banjir serta agensi berkaitan cekap menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa ke lokasi selamat sehingga semua penduduk dibantu tanpa berlaku insiden tidak diingini.

Saya amat berterima kasih terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang bekerja keras melaksanakan tugas dimanahkan bagi membantu mangsa,” jelasnya.

Dalam musibah banjir kali ini, Sibu terutama daerah Selangau mencatatkan sekolah paling banyak terjejas iaitu 40 buah. Mukah dan Limbang masing-masing 28, Miri dan Bintulu masing-masing 22, Serian (sembilan), Sarikei (tiga) manakala Betong dan Kapit masing-masing dua.

Abang Johari berkata, beliau sudah mengarahkan Pejabat Residen dan Jabatan Tanah dan Survei mencari tapak lebih tinggi dan selamat bagi membina semula lima sekolah di negeri ini dikenal pasti mudah dinaiki air.

Saya mengarahkan kedua-dua pihak menjalankan perbincangan dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah di lima sekolah terbabit bagi menentukan lokasi sesuai dan harus terletak di kawasan berdekatan supaya tidak jauh untuk penduduk setempat menghantar anak-anak ke sekolah,” ujarnya.

Katanya, peruntukan bagi melaksanakan projek pembinaan lima sekolah itu telah dimasukkan bersama dalam bajet yang diumumkannya itu.

Pada sesi lawatan singkat itu, Abang Johari turut menemui mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara sebelum menyerahkan bantuan kepada mangsa terjejas.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

 Abang Johari berbual dengan mangsa banjir ketika melawat pusat pemindahan terbabit semalam.
DENGAR MASALAH: Abang Johari berbual dengan mangsa banjir ketika melawat pusat pemindahan terbabit semalam.
  • oleh
  • Advertisement