Anda di sini

Rondaan penguatkuasaan JPJ 24 jam pada 18 Februari

Advertisement

Anggota JPJ akan turut menjalankan pemeriksaan bas secara rawak

 Shaharuddin (kanan) bersama Azman ketika melancarkan Stesen JPJ di Kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Dengkil (Arah Selatan) di Dengkil semalam. — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Shaharuddin (kanan) bersama Azman ketika melancarkan Stesen JPJ di Kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Dengkil (Arah Selatan) di Dengkil semalam. — Gambar Bernama

DENGKIL: Rondaan pasukan penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan beroperasi 24 jam pada 18 Februari bersempena sambutan Tahun Baharu Cina Jumaat ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Beliau berkata bermula 9 Februari hingga 23 Februari pasukan penguatkuasaan JPJ melakukan rondaan selama 16 jam iaitu dari 8 pagi hingga 12 malam kecuali pada 16 Februari dan 17 Februari.

Rondaan akan menggunakan kenderaan penguat kuasa berlogo dengan membuka lampu mata arah  dengan kelajuan tidak melebihi 70km/jam menggunakan lorong kecemasan atau lorong paling kiri jalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen JPJ di kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (arah selatan) di Lebuhraya Utara Selatan di sini semalam.

Shaharuddin berkata dalam tempoh itu, JPJ akan turut menjalankan pemeriksaan bas secara rawak di hentian rehat dan rawat di lebuh raya. 

Pegawai JPJ akan turut melakukan penyamaran di dalam bas bagi memantau pemandu yang merokok atau menggunakan telefon bimbit sambil memandu,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh tersebut juga, pegawai JPJ akan memeriksa tayar, brek dan lampu bas ekspres sebelum bas berlepas dari Terminal Bersepadu Selatan.

Beliau berkata sebanyak 120 pasukan berkenderaan dan 40 unit bermotosikal JPJ akan terlibat dalam operasi penguatkuasaan sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Rondaan dan penguatkuasaan pada sambutan perayaan Tahun Baharu Cina ini meliputi 240,000km jalan raya di seluruh negara melibatkan 1,500 hingga 2,000 pegawai dan anggota JPJ,” katanya.

Mengulas mengenai Stesen JPJ yang dirasmikan semalam, Shaharuddin berkata ia merupakan stesen zon tengah di mana pihak pengurusan PLUS Malaysia Bhd memberikan ruang eksklusif untuk pegawai penguat kuasa JPJ beroperasi di kawasan rehat dan rawat berkenaan.

Sebagai permulaan, Stesen JPJ Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (arah selatan) akan memberikan fokus kepada operasi penguatkuasaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Untuk jangka masa panjang, stesen JPJ ini merancang untuk menyediakan perkhidmatan memeriksa saman, memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu untuk kemudahan pengguna lebuh raya,” katanya. — Bernama

Advertisement