Anda di sini

Peniaga harus patuhi skim kawalan harga ditetapkan

Advertisement

Mereka diingatkan supaya tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum sempena TBC ini

 Henry Sum (tiga kiri), Naroden (dua kiri) bersama yang lain memeriksa harga barangan terkawal yang dijual di Pasar Raya Besar Giant di Tabuan Jaya semalam sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga TBC 2018. Gambar Muhammad Rais Sanusi
TERKAWAL: Henry Sum (tiga kiri), Naroden (dua kiri) bersama yang lain memeriksa harga barangan terkawal yang dijual di Pasar Raya Besar Giant di Tabuan Jaya semalam sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga TBC 2018. Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Para peniaga di negeri ini diingatkan supaya tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum sempena perayaan Tahun Baharu Cina  (TBC) 2018 ini.

Peringatan tersebut dibuat oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong ketika pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan TBC di Pasar Raya Besar Giant di Tabuan Jaya di sini semalam.

Menurut Henry, sebanyak 13 jenis barangan harga kawalan disenaraikan di bawah skim kawalan harga yang berkuat kuasa selama 12 hari bermula 10 hingga 21 Februari ini.

Barangan ini meliputi kategori ayam, telur ayam, sayur-sayuran, hasil laut, barang kering dan daging babi.

Tindakan tegas akan kita ambil terhadap para peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Tetapi kita amat menggalakkan para peniaga menjual barangan harga terkawal ini lebih rendah berbanding harga maksimum,” katanya pada sidang media selepas pelancaran dan lawatan pelaksanaan skim tersebut semalam.

Tambah Henry, sejak pelaksanaan skim ini bermula 10 Februari lepas, pihak kementerian masih belum menerima sebarang aduan berhubung kesalahan penjualan barang harga terkawal melebihi harga maksimum.

Bagi memastikan penguat kuasaan yang lebih berkesan, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum membabitkan individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Manakala bagi kesalahan membabitkan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula akan didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi kesalahan individu.

Manakala kesalahan yang sama membabitkan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Dalam pada itu pengguna yang mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini boleh menyalurkan aduan kepada kementerian dengan menghubungi talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) atau talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 03-8882 6088/6245.

Aduan juga boleh dibuat menerusi apikasi telefon pintar Ez ADU atau e-mel ke alamat [email protected] atau SMS ke 15888 dengan menaip ‘KPDNKK ADUAN <butiran aduan>’ atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.

Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais dan Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan.

  • oleh
  • Advertisement