Anda di sini

Pengguna internet perlu menganalisa, menilai

 Fadhlullah menyampaikan cenderahati kepada Musa sambil diperhatikan Fuzi (dua kiri).
TERIMA KASIH: Fadhlullah menyampaikan cenderahati kepada Musa sambil diperhatikan Fuzi (dua kiri).

SANDAKAN: Pengguna Internet perlu bertanggungjawab melengkapkan diri dengan kebolehan mengakses, menganalisa dan menilai setiap kandungan yang dilayari atau diterima.

Ketua Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baru, Pematuhan dan Advokasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata menerusi kebolehan mengakses, menganalisa dan menilai, pengguna akan terdorong mempersoal kesahihan setiap maklumat, siapa penulisnya, apakah niat di sebaliknya dan seterusnya menjadi pengguna yang proaktif.

Program Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Menerusi Pendidikan akan menjadi platform bagi pihak SKMM dan rakan-rakan strategik meningkatkan kesedaran literasi media kerana ia adalah alternatif terbaik kepada sekatan kandungan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan anjuran bersama SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kolej Unikop PDRM yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman di sebuah hotel terkemuka di sini pada Ahad.

Beliau menjelaskan menerusi program itu diharapkan pelajar dan ibu bapa akan memperlengkapkan diri dengan kemahiran kawal selia kendiri dan menjadi pengguna internet yang bertanggungjawab.

Penyebaran pantas berita palsu dalam talian ini merupakan salah satu masalah kritikal global yang telah diperakui oleh World Economic Forum dalam satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 2014.

Pihak kerajaan turut memandang serius isu ini kerana penyebaran berita dan maklumat palsu mahupun fitnah termasuklah kebocoran maklumat rahsia kerajaan dilihat mampu mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Berita palsu adalah musuh negara,” katanya.

Fadhlullah berkata, sejumlah 76 kes berkaitan penyebaran berita dan maklumat palsu atas talian telah disiasat dan lima kes telah dihadapkan ke mahkamah pada tahun ini oleh pihak SKMM.

Namun, tindakan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi dalam mengekang isu ini. Sekali lagi saya tekankan, kerjasama daripada pengguna amat penting dan merupakan faktor utama menangani isu ini,” katanya.

Selaras dengan usaha lain, pihak SKMM telah mewujudkan portal sebenarnya.my yang berperanan sebagai sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia menyemak maklumat mengenai berita tular yang tidak ditentusahkan, yang diterima secara atas talian.

Justeru, beliau mengajak semua pihak agar berganding bahu dalam memerangi berita palsu dan menjadi lebih bertanggunjawab dalam talian.

Fadhlullah memberitahu ‘Bancian Pengguna Internet’ pada tahun 2016 yang dijalankan oleh pihak SKMM mendapati 89.4 peratus aktiviti dalam talian dilakukan menerusi telefon pintar oleh 24 juta pengguna yang direkodkan.

Manakala pengguna yang berumur di bawah 18 tahun sebanyak 1.8 juta mewakili 5.8 peratus daripada jumlah pengguna keseluruhan. Ia mewakili jumlah yang sangat ramai,” katanya.

Beliau berkata SKMM percaya dan berusaha sedaya upaya mewujudkan suasana penggunaan Internet yang mampu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dan individu, dengan cara setiap orang harus bijak menggunakan peluang dan kemudahan Internet yang disediakan.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.