Anda di sini

Pekebun kecil cari pembeli lain untuk pasarkan minyak sawit

Advertisement

Mereka tidak berasa terancam terhadap trend diskriminasi di Eropah

KUALA LUMPUR: Selagi ada pembeli, ada kalangan pekebun kecil sawit tidak berasa terancam terhadap trend diskriminasi di Eropah, dengan penggunaan minyak sawit dalam biofuel akan dihentikan tidak lama lagi.

 Walaupun mengakui tindakan oleh kerajaan dalam menangani isu ini, yang mungkin menjejaskan kehidupan majoriti mereka, sesetengah pekebun kecil percaya mereka masih ada pembeli di tempat lain untuk mengeksport produk itu.

 Niam Saw Yok, 65, pekebun kecil di Sabak Bernam berkata, tindakan yang dilaksanakan Parlimen Kesatuan Eropah tidak akan menjejaskan tanaman sawit seluas 12.14 hektarnya (ha) kerana beliau memahami bahawa destinasi eksport Malaysia juga termasuk tempat lain seperti Pakistan, India, Timur Tengah serta China.

 “Saya tidak tahu pun Eropah mengimport sejumlah besar minyak sawit, namun ini bukanlah kali pertama saya mendengar isu boikot dibangkitkan.

 Orang Amerika pernah melakukannya sekali, sudah agak lama, kerana mereka mahu melindungi kacang soya mereka sendiri.

 “Jadi, saya tidak terkejut dengan trend baharu ini,” kata Niam, yang telah terlibat hampir 20 tahun terlibat dalam sektor minyak sawit, kepada Bernama.

 Ditanya apa yang penting kepadanya, Niam berkata: “Selagi ada pembeli untuk tandan buah segar (FFB) dan tahap harga memuaskan, yang lain kurang penting”.

 Mengulas mengenai cadangan EU ke atas harga minyak sawit mentah, beliau berkata, ia tidak akan banyak memberi kesan yang besar, memandangkan pada masa ini satu tan FFB berharga antara RM400 dan RM500.

 “Harga itu menguntungkan berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila satu tan hanya berharga antara RM70 dan RM80,” katanya.

 Mengenai sama ada beliau akan memohon pensijilan minyak kelapa sawit seperti yang dikehendaki oleh kerajaan bagi menggalakkan kelestarian dalam industri itu, Niam berkata, beliau kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat, dan keputusannya kelak banyak bergantung kepada tindakan kerajaan seterusnya.

 Seorang lagi pekebun kecil, Musa Omar, 80, dari Jengka Pahang berkata, beliau yakin cadangan oleh EU itu merupakan sebahagian daripada agenda untuk menjejaskan industri kelapa sawit tempatan.

 Di sebalik isu itu, beliau berpendapat harga FFB tidak stabil dan memberi kesan langsung kepada pekebun kecil.

 “Ini belum lagi harga baja dan buruh yang meningkat secara konsisten, namun kadar pengekstrakan adalah sebaliknya,” katanya.

 Musa juga ialah peneroka FELDA dan mengurus ladang sawit seluas 2.4 ha.

 Bagi Abdul Jalil Aziz, 62, mendapatkan pembeli untuk FFBnya sangat penting kerana ini merupakan pendapatan mata pencarian utamanya.

 “Saya tidak tahu sama ada pengharaman EU terhadap minyak sawit akan memberi kesan kepada saya atau tidak.

 Setakat yang saya tahu, kita juga menjual minyak sawit ke China, India dan Pakistan,” katanya ketika ditanya mengenai isu itu.

 Ditanya mengenai pensijilan kelestarian, Abdul Jalil, yang bekerja keras untuk mengekalkan ladang seluas 2.83 hektar di Pagoh, Johor, berkata usaha itu tidak sepenting penjualan FFB dan harga minyak sawit.

 Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM130 juta sebagai insentif untuk pekebun kecil kelapa sawit bagi membolehkan mereka mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) secara percuma.

 Kementerian Perladangan dan Komoditi mengumumkan pelaksanaan wajib MSPO akan berkuat kuasa menjelang akhir 2019.

 Buat masa ini, hanya empat peratus daripada kira-kira 244,622 hektar ladang, termasuk 7,113 ha yang dimiliki oleh pekebun kecil dan 22 kilang, secara sukarela memperoleh pensijilan itu sejak diperkenalkan pada Januari 2015.

 Kementerian itu juga menetapkan sasaran untuk memastikan kira-kira 500,000 ha ladang sawit disahkan MSPO menjelang akhir tahun. — Bernama

Advertisement