Anda di sini

Nahas pesawat Rusia disiasat

Antonov An-148 terjunam hanya beberapa minit sejurus berlepas, 71 maut

 Gambar yang dirakam di daerah Ramensky, pinggir Moscow kelmarin menunjukkan pemandangan dari udara kenderaan kecemasan yang berkumpul di tempat kejadian. — Gambar AFP
NAHAS PESAWAT: Gambar yang dirakam di daerah Ramensky, pinggir Moscow kelmarin menunjukkan pemandangan dari udara kenderaan kecemasan yang berkumpul di tempat kejadian. — Gambar AFP

STEPANOVSKOYE: Para penyiasat akan memeriksa beberapa kemungkinan bagi punca salah satu nahas penerbangan terburuk di Rusia yang menyaksikan sebuah pesawat penumpang membawa 71 orang terhempas berhampiran Moscow beberapa minit sejurus berlepas, mengorbankan kesemua mangsa.

Jawatankuasa Siasatan Rusia menyatakan ia akan mempertimbang penjelasan termasuk kesilapan manusia, masalah teknikal dan keadaan cuaca, ketika negara itu mengalami penurunan salji mengatasi rekod sejak beberapa minggu lepas.

Namun ia tidak menyebut tentang kebarangkalian keganasan.

Pesawat Antonov An-148 itu terjunam di daerah Ramensky, luar bandar Moscow pada jam 2.48 petang waktu tempatan kelmarin sejurus berlepas dari lapangan terbang Domodedovo di ibu negara.

Seramai 65 penumpang dan enam kru berada di dalamnya, kesemuanya maut,” menurut kenyataan pejabat siasatan pengangkutan Rusia.

Tiga kanak-kanak antara kematian dalam senarai yang dikeluarkan pihak berkuasa Rusia.

Pesawat itu dimiliki syarikat domestik Saratov Airlines dan dalam perjalanan ke Orsk, bandar di pergunungan Ural.

Lebih 400 orang dan 70 kenderaan dikerahkan ke tempat kejadian, menurut kementerian kecemasan.

Kawasan tersebut diselubungi salji tebal, menyukarkan akses dan memaksa para pekerja kecemasan berjalan kaki ke tempat kejadian.

Mereka yang lain menggunakan kenderaan salji dan dron bagi meninjau tempat kejadian.

Menteri pengangkutan Rusia Maksim Sokolov menyatakan kepakaran genetik diperlukan bagi membantu mengenal pasti mangsa dania akan mengambil masa dua hingga tiga bulan.

Saya berasa gelombang kejutan dan tingkap rumah saya bergegar,” kata Maria, penduduk sebuah kampung berhampiran tempat kejadian.

Pejabat siasatan pengangkutan menyatakan pesawat itu hilang dari skrin radar kira-kira empat minit selepas berlepas.

Seorang pegawai  wilayah menyatakan kotak hitam pesawat tersebut telah ditemui.

Pesawat buatan Rusia itu dilaporkan berusia tujuh tahun dan dibeli Saratov Airlines daripada syarikat penerbangan Rusia lain setahun lepas.

Saratov ditubuhkan pada 1930 dan terbang ke 35 bandar di Rusia.

Habnya adalah Lapangan Terbang Pusat Saratov di selatan Rusia.

Gabenor Orenburg, destinasi pesawat itu, memberitahu media Rusia bahawa lebih 60 orang di dalam pesawat adalah dari wilayah tersebut.

Presiden Rusia Vladimir Putin menawarkan takziahnya kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam nahas tersebut, menurut jurucakapnya Dmitry Peskov.

Putin turut membatalkan rancangan untuk pergi ke Sochi menemui Presiden Palestin Mahmoud Abbas, sebaliknya pertemuan akan dilakukan di Moscow.

Laman sesawang media tempatan Ural56.ru di wilayah Orenburg menunjukkan rakaman anggota keluarga bersedih di lapangan terbang Orsk, di mana pesawat itu sepatutnya mendarat.

Andrei Odintsov, datuk bandar Orsk, memberitahu televisyen rasmi bahawa enam ahli psikologi dan empat ambulans bersama anggota perubatan bekerjasama dengan keluarga di lapangan terbang kecil itu.

Orsk bandar kedua paling besar di wilayah Orenburg, dekat sempadan Rusia dengan Kazakhstan.

Sebuah pusat krisis turut disediakan di Domodedovo, lapangan terbang kedua terbesar di Moscow dari segi jumlah penumpang.

Rusia mengalami beberapa nahas pesawat, kebanyakannya syarikat penerbangan yang sering menggunakan pesawat lama bagi keadaan penerbangan yang berbahaya.

Sebuah pesawat ringan terhempas pada November di timur jauh Rusia, membunuh enam orang di dalamnya.

Pada Disember 2016, sebuah pesawat tentera membawa Red Army Choir yang tersohor di Rusia terhempas sejurus berlepas dari pusat peranginan Sochi di Laut Hitam, mengorbankan kesemua 92 di dalannya.

Koir dijangka mempersembahkan konsert buat pasukan tentera Rusia yang beroperasi di Syria.

Kesilapan juruterbang dipersalahkan atas nahas tersebut.

Pada Mac 2016, kesemua 62 penumpang mati apabila sebuah jet FlyDubai terhempas dalam cuaca buruk semasa pendaratan yang ditangguhkan di lapangan terbang Rostov-on-Don. — AFP