Anda di sini

LSS lancar dua fasa operasi sempena TBC

 Murni (kanan) menyampaikan risalah kepada penumpang semasa pelancaran operasi sempena TBC  di Terminal Penumpang Sibu, semalam.
SELAMAT JALAN: Murni (kanan) menyampaikan risalah kepada penumpang semasa pelancaran operasi sempena TBC di Terminal Penumpang Sibu, semalam.

SIBU: Sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) ini, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan mengadakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran melibatkan dua fasa di seluruh negeri.

Pengerusi LSS Murni Suhaili berkata, operasi fasa pertama bermula semalam hingga Khamis manakala 23 hingga 25 Februari untuk fasa kedua.

Ini bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang semasa menggunakan terminal dan pengangkutan sungai sepanjang musim perayaan akan datang.

Agensi yang turut terlibat dalam operasi ini ialah Jabatan Laut Wilayah Sarawak (JLWS), Polis Marin dan pihak kami sendiri iaitu LSS.

Selain itu, agensi lain yang turut menyertai operasi ini ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sarawak dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak.

Aset yang digunakan ialah tiga bot peronda LSS, JLWS satu dan Polis Marin satu,” katanya semasa melancarkan Operasi Penguatkuasaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Terminal Penumpang Sibu, semalam.

Hadir sama Kontroler LSS Richard Tajan dan Timbalan Kontroller LSS Wilayah II Hatta Morshidi.

Menurut Murni, pemantauan bukan sahaja diadakan di terminal malah di sepanjang sungai.

Katanya, ini bagi memastikan keselamatan bot ekspres dalam membawa penumpang mengikut kapasiti yang ditetapkan amnya.

Pada operasi ini, anggota kami akan memeriksa bot ekspres sebelum ia bertolak bagi memastikan bukan sahaja keselamatan bot malah penumpangnya.

Dengan cara ini kita akan dapat mengelakkan bot lebih muatan, menentukan bot mempunyai permit dan yang paling penting mempunyai jaket keselamatan,” tegasnya.

Bercakap mengenai orang ramai yang hendak balik ke kampung pada musim perayaan ini, Murni memberitahu, kemungkinan pihaknya akan meminta penambahan bot ekspres sekiranya diperlukan.

Bagaimanapun tambahnya, bot ekspres berkenaan perlulah memohon permit terlebih dahulu.

Terdahulu, Murni serta para pegawai berkenaan turut mengagihkan risalah kepada orang ramai di terminal tersebut.