Anda di sini

Lebuh raya bertukar jadi sungai api di Beijing

Advertisement
 Gambar rakaman video dalam kereta kelmarin yang diserahkan CCTV kepada AFPTV semalam menunjukkan pintu sebuah kereta dibuka ketika kebakaran marak di sepanjang lebuh raya Beijing-Harbin di wilayah Hebei. — Gambar AFP
SUNGAI API: Gambar rakaman video dalam kereta kelmarin yang diserahkan CCTV kepada AFPTV semalam menunjukkan pintu sebuah kereta dibuka ketika kebakaran marak di sepanjang lebuh raya Beijing-Harbin di wilayah Hebei. — Gambar AFP

BEIJING: Sebatang lebuh raya di China bertukar menjadi sungai api selepas sebuah lori tangki minyak terbalik, mengakibatkan tumpahan gas asli cecair dan menghasilkan perangkap maut bagi pengguna jalan raya yang tidak mengesyaki apa-apa.

Rakaman kamera dari dalam kereta yang melalui kawasan itu menunjukkan sebuah kereta sedan biru terbakar hanya beberapa saat selepas pemandunya berhenti di tepi jalan di belakang trak.

Ketika mangsa berhenti, seluruh jalan itu bertukar menjadi sungai api, membakar sebuah lagi kereta sebelum membakar hangus pokok-pokok dan hutan di sepanjang jalan.

Mangsa kemudian segera keluar dari kereta dalam usaha terdesak untuk menyelamatkan diri namun gagal.

Rakaman dramatik itu diambil kelmarin di sepanjang lebuh raya di wilayah Hebei, bersempadan dengan Beijing.

Kereta yang merakamkan kejadian itu segera berundur untuk melarikan diri daripada api yang membara.

Dalam kejadian itu, dua melecur teruk manakala enam lagi mengalami kecederaan ringan, menurut laporan media tempatan.

Para pemandu di pelantar terselamat daripada kecederaan.

Lebuh raya Beijing-Harbin, di mana insiden berlaku, merupakan laluan utama trak-trak yang membawa arang batu, gas asli cecair dan komoditi lain, selain turut digunakan pengguna kenderaan.

Kejadian berlaku sebelum permulaan Tahun Baharu Cina pada minggu ini, ketika jalan raya di negara itu dipenuhi orang ramai yang pulang ke kampung halaman melawat keluarga mereka dalam migrasi kemanusiaan terbesar di dunia. — AFP

Advertisement