Anda di sini

Lebih 30% kebakaran berpunca pendawaian dan perkakas uzur

Periksa usia perkakas, dapatkan khidmat pakar untuk elak tragedi

 Mohd Sharkar (kiri) memasang alat pemadam kebakaran sementara Wan Mohd (tiga, kanan) memasang alat pengesan kebakaran di dalam rumah Abdul Rahim Seman, 40, (kanan) pada majlis penyerahan Kunci Rumah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS7) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Kampung Teris, Lanchang, semalam. — Gambar Bernama
KESELAMATAN: Mohd Sharkar (kiri) memasang alat pemadam kebakaran sementara Wan Mohd (tiga, kanan) memasang alat pengesan kebakaran di dalam rumah Abdul Rahim Seman, 40, (kanan) pada majlis penyerahan Kunci Rumah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS7) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Kampung Teris, Lanchang, semalam. — Gambar Bernama

TEMERLOH: Lebih 30 peratus kes kebakaran berpunca akibat litar pintas pendawaian dan penggunaan perkakas elektrik yang sudah uzur, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berkata sikap masyarakat yang prihatin dengan usia perkakas elektrik dan mendapatkan khidmat pakar dalam kerja pendawaian boleh membantu mencegah kebakaran daripada berlaku.

Peralatan elektrik yang uzur berisiko mendatangkan kebakaran kerana wayar penebat boleh cair memudahkan litar  pintas berlaku apabila suhu terlalu tinggi. Lebih  bahaya jika peralatan itu diletakkan berhampiran barang mudah terbakar.

Pendawaian juga perlu  diperiksa selepas tempoh tertentu terutama selepas 15 tahun bergantung kepada kualiti wayar yang digunakan.

Pemeriksaan juga perlu dilakukan jika terlalu banyak peralatan elektrik digunakan di sesebuah rumah bagi memastikan pendawaiannya boleh menampung pertambahan arus elektrik untuk mengelakkan litar pintas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Wan Mohd Nor sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Rumah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOSH) Ketujuh di Kampung Teris, Lanchang yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pahang Datuk Abdul Wahab Md Yassin.

Pada program itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang menyerahkan rumah kepada keluarga Abdul Rahim Seman yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran awal tahun lalu.

Mengulas pembinaan rumah di bawah NBOSH, Wan Mohd Nor berkata untuk tahun ini pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM1.3 juta untuk membina 30 buah rumah yang musnah akibat kebakaran dan melakukan baik pulih 100 buah rumah.

Pada tahun lalu, JBPM menerima RM1.75 juta bagi membina 40 buah rumah yang musnah akibat kebakaran dan kerja baik pulih di bawah program sama, katanya.

Pemilihan penerima rumah diutamakan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan mempunyai tanah sendiri. Kerja membina rumah dilakukan oleh anggota bomba dan akan mengambil masa sehingga tujuh minggu untuk disiapkan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim, 40, berterima kasih atas pemberian rumah baharu tiga bilik itu selepas terpaksa membawa isteri Nor Azidah Mohd Nor, 40, dan tiga anak mereka menumpang selama 11 bulan di sebuah projek perumahan rakyat.

Katanya beliau bekerja kampung dan tiada wang yang cukup untuk membina semula rumah pusaka keluarganya yang musnah akibat kebakaran pada jam 5.45 petang, 29 Mac 2017.

Kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana semasa kejadian saya berada di bandar. Saya pulang dan cuba untuk menyelamatkan apa yang boleh, tapi dihalang penduduk kampung kerana api sudah marak.

Waktu itu, saya termenung mengenangkan nasib... saya buntu apa yang hendak dilakukan dan tidak lama selepas itu, saya terima kunjungan pegawai bomba memaklumkan mereka mahu beri rumah baharu,” katanya. — Bernama