Anda di sini

Kuching FA mara pusingan kedua Piala FA

Kuching FA tidak berdepan masalah menyingkirkan wakil Terengganu, Real Chukai FC petang tadi.

KUCHING: Kuching FA melakar sejarah tersendiri mara ke pusingan kedua saingan Piala FA 2018 selepas mencatat kemenangan bergaya 2-0 mengatasi Real Chukai FC pada perlawanan berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya petang tadi.

Gol pertama Kuching FA terhasil menerusi Ahmad Shahkri Tuah pada minit ke-31 selepas menerima hantaran kemas dari Zulmizan Bujang.

Sebelum rehat (minit 45), Kuching FA dihadiahkan sepakan penalti namun peluang keemasan itu gagal disempurnakan oleh Samsu Alam Abd Samad.

Aksi di babak kedua lebih rancak dengan Kuching FA bertubi-tubi menyerang gawang wakil dari Terengganu itu dari setiap sudut dalam usaha menambah jaringan namun dihampakan oleh penyudah yang tumpul.

Pemain gantian, Mohd Shahfitri Salim memastikan Kuching FA melangkah selesa selepas menjaringkan gol kedua pada minit ke-89.

Kuching FA akan berdepan pencabar dari Liga Super, Kuala Lumpur FA pada 3 Mac depan di gelanggang lawan.