Anda di sini

Industri aeroangkasa akan terus catatkan pertumbuhan positif

Advertisement

KUALA LUMPUR: Industri aeroangkasa Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhan yang positif pada tahun ini, didorong oleh pertumbuhan rekod sejak tiga tahun lepas dan tempahan terkumpul bagi pesawat-pesawat di rantau Asia Pasifik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, eksport dalam industri itu dijangka meningkat sebanyak 5.0 peratus kepada RM9 bilion pada tahun ini berbanding RM8.49 bilion yang dicatatkan pada 2017.

Kerajaan melihat aeroangkasa Malaysia sebagai industri yang strategik, berpotensi luas untuk perindustrian negara dan program-program pembangunan teknologi.

Rantau Asia Pasifik dijangka akan menerima sejumlah 16,000 pesawat baharu menjelang 2035, ini bermakna sebanyak 4,000 atau 26 peratus daripada penghantaran global bagi pesawat-pesawat penumpang serta kargo,” katanya kepada pemberita selepas pra-pelancaran Konvensyen Perniagaan Aeroangkasa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIABC) 2018 di sini semalam.

Beliau berkata, negara mempunyai tempahan terkumpul bagi pengeluaran komponen kapal terbang, pemasangan asas untuk pesawat ringan serta korporat termasuk aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Sementara itu, KLIABC yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober, 2018, ia menjadi bukti kepada usaha kerajaan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab aeroangkasa serantau.

KLIABC 2018 menyediakan platform untuk syarikat-syarikat aeroangkasa Malaysia bertemu dengan peneraju ae-roangkasa antarabangsa yang terkemuka dan mendapat pendedahan mengenai trend teknologi terkini termasuk membangunkan hubungan perniagaan.

Kemuncak acara KLIABC 2018, antara lain, mnerupakan satu persidangan peringkat tinggi sehari yang akan mengumpulkan penceramah dari syarikat penerbangan, pengeluar peralatan asli serta industri MRO dan pertemuan perniagaan ke perniagaan (B2B).

Acara dwitahunan itu dijangka smenarik 500 peserta dari 150 syarikat dalam industri aeroangkasa. — Bernama

Advertisement