Anda di sini

Imigresen pertimbang usir pekerja asing lakukan kesalahan jalan raya

Advertisement
 Mustafar (kiri) mempengerusikan mesyuarat bersama Lee (kanan) pada Program Libat Urus Jabatan Imigresen dan MCPF di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen semalam. — Gambar Bernama
BINCANG: Mustafar (kiri) mempengerusikan mesyuarat bersama Lee (kanan) pada Program Libat Urus Jabatan Imigresen dan MCPF di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan mempertimbangkan tindakan tegas termasuk pengusiran terhadap pekerja warga asing yang melakukan kesalahan berulang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata cadangan itu adalah hasil maklum balas daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan pelbagai kesalahan jalan raya dilakukan pekerja warga asing.

Antara kesalahan berulang yang dilakukan termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan, menggunakan dokumen palsu serta kesalahan trafik lain, katanya.

Walaupun jumlah mereka (yang melakukan kesalahan jalan raya) adalah kecil, tetapi kita tidak boleh berkompromi, walaupun mereka ada pas sah (untuk bekerja).

Tindakan pengusiran boleh dilakukan jika mereka terus-menerus melakukan kesalahan di bawah APJ 1987,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus bersama wakil JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Ditanya sama ada ekspatriat boleh dikenakan tindakan sama, Mustafar berkata Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi jika rekod JPJ menunjukkan mereka melakukan kesalahan berulang.

Mengulas kejadian seorang pembantu rumah warganegara Indonesia yang meninggal dunia dipercayai akibat didera majikan, Mustafar berkata Jabatan Imigresen sememangnya telah melaksanakan tindakan menyenarai hitam majikan yang pernah melakukan kesalahan termasuk mendera pekerja.

Jika mereka mempunyai rekod kesalahan, sudah pasti mereka tidak dibenarkan mengambil pekerja, bukan sahaja pembantu rumah tetapi pekerja (dalam sektor lain),” katanya.

Selain mendera pekerja, beliau berkata kesalahan lain yang boleh menyebabkan majikan disenarai hitam termasuk menyalahgunakan pas pekerja mereka.

Pembantu rumah berusia 21 tahun itu yang disyaki didera majikannya dalam kejadian di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) kelmarin.

Mengenai program libat urus bersama MCPF, Mustafar berkata Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam aspek pencegahan jenayah melibatkan warga asing terutamanya pelajar asing di insitusi pengajian tinggi (IPT).

Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye yang turut serta dalam sidang media itu berkata MCPF akan melantik seorang pegawai imigresen sebagai anggota jawatankuasa Kelab Pencegahan Jenayah yang telah ditubuhkan di setiap IPT di negara ini. — Bernama

Advertisement