Anda di sini

FAS pastikan siasatan menyeluruh

Mana-mana pihak didapati terbabit mengatur perlawanan akan dikenakan tindakan tegas: Abdul Wahab

KUCHING: Pengurus skuad Sarawak, Abdul Wahab Rahim menjelaskan mana-mana pihak didapati terbabit dalam mengatur per lawanan akan dikenakan tegas oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

 Abdul Wahab dilantik oleh Presiden FAS, Datuk Posa Majais bagi mengetuai jawatankuasa khas menyiasat kewujudan budaya tidak sihat itu dalam skuad Sarawak, berkata beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan mendalam membabitkan semua pihak.

 “Kita memandang serius perkara ini. FAS tidak mahu ada ‘parasit’ dalam pasukan negeri dan tidak mahu gejala tidak sihat terus menular dalam skuad Sarawak.

 “Kita boleh menerima jika pemain-pemain tidak bermain dengan baik kerana kemampuan mereka terbatas.

 Tetapi, adalah menyedihkan jika pemain-pemain terlibat dalam penjualan perlawanan.

 “Pemain-pemain harus berpegang dengan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dilafazkan baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

 Timbalan Presiden FAS itu berkata, pihaknya amat menyanjung tinggi semangat semua pemain dalam skuad Sarawak yang ‘bersih’ dan berintegriti.

 Beliau turut menegaskan kepada mereka yang bersih agar tidak perlu bimbang dan menjalani latihan seperti biasa.

 “Saya akan melakukan siasatan dalaman secara menyeluruh seperti yang diamanahkan oleh Presiden FAS (Datuk Posa) kerana kita mahu memastikan budaya menjual perlawanan ini dikikis sepenuhnya.

 “Kita tidak mahu budaya seperti ini membunuh harapan menggunung penyokongpenyokong setia yang mahu melihat kejayaan skuad Sarawak musim ini.

 “Yang pasti, kita akan memastikan manamana pihak yang terbabit dikenakan tindakan tegas oleh persatuan,” tegas Abdul Wahab.

 Kelmarin, Posa mengarahkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat wujud unsur rasuah semasa perlawanan Liga Premier antara Sarawak dan Felcra FC di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini pada Sabtu lalu.

 Pada perlawanan itu menyaksikan Sarawak tewas 3-2 meskipun mendahului 2-0 sehingga pasukan pelawat menjaringkan tiga gol dalam tempoh enam minit terakhir permainan.