Anda di sini

Dua sahabat didakwa tipu seorang wanita

 Ekene (dua kiri) dan Arinze (dua kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh semalam atas dua pertuduhan menipu dan memperdaya seorang wanita melibatkan wang lebih RM16,000 pada Januari lepas. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Ekene (dua kiri) dan Arinze (dua kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh semalam atas dua pertuduhan menipu dan memperdaya seorang wanita melibatkan wang lebih RM16,000 pada Januari lepas. — Gambar Bernama

IPOH: Dua sahabat warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan menipu dan memperdaya seorang wanita melibatkan wang lebih RM16,000 pada Januari lepas.

Ekene Malachy, 28, membuat pengakuan tidak bersalah manakala Arinze Chibuisi, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Kedua-dua mereka didakwa secara bersama-sama menipu Tan So Pin, 56, untuk mempercayai ada penghantaran satu bungkusan dan wanita itu perlu membayar sejumlah wang cukai untuk melepaskan bungkusan yang tidak wujud dan ditahan oleh  Kastam Diraja Malaysia.

Ini mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM4,200 dan RM12,000 kepada tertuduh menerusi akaun bank CIMB atas nama Yeoi Joo Phin.

Kedua-dua tertuduh didakwa mela­kukan kesalahan itu di CIMB Bank, Persiaran Silibin Utara, Kawasan Perkilangan Jelapang, di sini, masing-masing pada jam 2.15 petang, 15 Jan lepas dan 10.25 pagi, 16 Januari lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Dalam pada itu, Ekene dan Arinze turut didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.

Dua lagi rakan mereka iaitu Emmanuel Jideanr, 34, dan Thankgod, 24, warga Nigeria juga didakwa atas kesalahan yang sama di Restoran Shafah, di Taman Paik Siong, Puchong, Selangor pada jam 12.30 tengah hari, 29 Januari lepas.

Kesemua mereka  didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama, jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.

Bagi kesemua kes, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamar L Abrar, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam R. Raja Segaren.

Mahkamah tidak menetapkan wang jaminan terhadap kesemua tertuduh bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 13 Mac untuk sebutan semula kesemua kes. — Bernama