Anda di sini

SMK Singai akan memulakan sesi persekolahan pada Jun

Advertisement

BAU: Sebuah sekolah menengah baharu di daerah ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Singai akan memulakan sesi persekolahan dijangka pada Jun tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Jinep berkata pembinaan sekolah bernilai RM46 juta itu yang dimulakan pada 2012, kini sudah siap sepenuhnya dan dijangka mampu menampung seramai 800 pelajar.

Kita berasa bersyukur kerana SMK Singai telah siap sepenuhnya dan kita menunggu majlis pelancaran pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual Bahagian Kuching di SMK Lake, di sini semalam.

Bagaimanapun, Henry berkata pengambilan pertama hanya akan membabitkan seramai 400 pelajar untuk tingkatan satu dan dua sahaja, dengan persekolahan juga akan dijalankan dalam sesi pagi sahaja.

Beliau berkata pengambilan pelajar seterusnya bagi sekolah berasrama penuh itu akan dilakukan secara berperingkat setiap tahun bagi mencapai kapasiti 800 pelajar.

Kita menjangkakan dalam masa dua tahun akan dapat memenuhkan kapasiti 800 pelajar,” katanya.

Sementara itu, Henry berkata SMK Singai merupakan sekolah menengah berasrama penuh yang keempat di daerah ini, selain SMK Lake, SMK Bau dan SMK Paku.

Namun demikian, beliau berkata ia masih tidak mencukupi untuk menampung bilangan pelajar yang ramai di sini, yang menyaksikan persekolahan di SMK Lake, SMK Bau dan SMK Paku pada masa ini terpaksa dijalankan dalam dua sesi kerana kemudahan yang tidak mencukupi sekali gus mengganggu proses pembelajaran.

Sehubungan itu, katanya sebuah lagi sekolah menengah baharu diperlukan iaitu di kawasan Jagoi (SMK Jagoi), di mana permohonan mengenainya juga telah diajukan kepada Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak.

Kami amat mengharapkan supaya ada sebuah lagi sekolah menengah di Bau, kerana dengan adanya lima buah SMK di sini maka semua sekolah ini akan dapat menjalankan persekolahan dalam satu sesi sahaja,” katanya.

Advertisement